Sabtu, 20 April 2024 | 10:32pm
Penduduk Palestin menyelamatkan harta benda dari runtuhan rumah yang musnah dibedil Israel Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Penduduk Palestin menyelamatkan harta benda dari runtuhan rumah yang musnah dibedil Israel Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP

Gaza dibom lagi ketika ketegangan Iran-Israel mula reda

TEHRAN: Iran menafikan Israel melancarkan serangan balas Jumaat lalu di Tehran, sambil menyifatkan tiga dron mini yang diletupkan itu hanya sekadar 'mainan kanak-kanak'.

Sejak tiga letupan kecil di tengah Tehran itu, ketegangan antara Israel dan Iran nampaknya reda sedikit selepas ketegangan memuncak sejak perang di Gaza bermula 7 Oktober lalu.

Namun, letupan maut di pangkalan tentera Iraq semalam membuktikan ketegangan masih tinggi dan wujud risiko seluruh Asia Barat terjerumus dalam kancah perang.

Israel sebelum ini memberi amaran akan menyerang balik selepas Iran melepaskan ratusan peluru berpandu serta dron minggu lalu dan semalam bertindak balas apabila media Iran melaporkan letupan di wilayah tengah Isfahan.

Agensi berita Fars melaporkan tiga letupan berhampiran Qahjavarestan, berhampiran lapangan terbang Isfahan dan pangkalan udara tentera Shekari ke-8.

Menteri Luar Negeri, Hossein Amir-Abdollahian, berkata apa yang berlaku malam tadi bukanlah serangan.

"Ia adalah penerbangan dua atau tiga quadcopter, yang bagi kami, berada pada tahap mainan yang digunakan oleh anak-anak di Iran.

"Selagi tidak ada serangan baharu oleh rejim Israel terhadap kepentingan Iran, kami tidak akan bertindak balas," katanya.

Bagaimanapun Israel enggan mengulas lanjut mengenai serangan balas yang didakwa dilakukannya terhadap Iran.

Ketegangan Iran-Israel meningkat selepas serangan ke atas konsulat Iran, tetapi keganasan membabitkan kumpulan yang disokong Iran meningkat di seluruh Asia Barat, seiring dengan perang di Gaza.

Bagaimanapun, Menteri Luar kumpulan G7 yang bertemu di Itali semalam, mengekalkan tekanan untuk menghentikan perang di Gaza.

Kumpulan itu berkata, mereka menentang operasi ketenteraan berskala penuh di Rafah di mana kebanyakan penduduk Gaza berlindung, kerana ia akan membawa malapetaka besar kepada orang awam.

Agensi Pertahanan Awam Gaza berkata, serangan Israel semalam di Rafah, titik paling selatan Gaza, membunuh sembilan ahli sekeluarga termasuk enam kanak-kanak.

Jumlah itu termasuk sekurang-kurangnya 37 kematian dalam tempoh 24 jam sebelumnya.

Bagaimanapun, sepanjang minggu lalu, konvoi Program Makanan Sedunia (WFP) dapat memasuki Gaza utara melalui lintasan Erez manakala konvoi lain memasuki Gaza melalui pelabuhan Ashdod, Israel.

Pihak berkuasa Israel memudahkan peningkatan kemasukan misi makanan ke utara Gaza, menurut Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).

Walaupun terdapat peningkatan segera dalam akses bantuan kemanusiaan, WFP masih menjangkakan kebuluran akan berlaku di sana. - AFP

Berita Harian X