Jumaat, 19 April 2024 | 10:43pm
Air India mempunyai empat penerbangan seminggu antara New Delhi dan bandar raya Israel itu. - Foto Reuters
Air India mempunyai empat penerbangan seminggu antara New Delhi dan bandar raya Israel itu. - Foto Reuters

Penerbangan Air India ke Tel Aviv digantung sehingga akhir bulan ini

NEW DELHI: Air India hari ini memaklumkan penerbangannya ke ibu negara Israel, Tel Aviv akan digantung sehingga penghujung April berikutan ketegangan yang membabitkan ketenteraan di Asia Barat.

"Kami terus memantau dengan rapi keadaan dan menghulurkan bantuan kepada penumpang kami yang mempunyai tempahan yang disahkan untuk penerbangan dari dan ke Tel Aviv pada waktu ini, dengan penepian sekali untuk penjadualan semula dan caj pembatalan" kata syarikat penerbangan India itu.

Air India mempunyai empat penerbangan seminggu antara New Delhi dan bandar raya Israel itu.

Syarikat penerbangan itu menggantung penerbangan ke Israel selepas Iran melancarkan dron dan misil di sasaran tentera milik Israel pada 13 April sebagai tindak balas kepada tindakan rejim Israel mengebom Kedutaan Iran di Damsyik pada 1 April lalu.

Media melaporkan letupan kedengaran di beberapa bandar di Iran awal Jumaat di tengah-tengah dakwaan serangan dilakukan Israel ke atas Iran.

Letupan dilaporkan berlaku di Isfahan, di tengah Iran dan ke barat Tabriz yang terletak di barat laut negara itu, lapor Agensi Anadolu yang memetik Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA).

Tiada laporan kerosakan dan media Iran tidak memberikan liputan meluas mengenai letupan-letupan yang berlaku pada awal pagi.

Tiga dron yang menceroboh ditembak jatuh oleh pertahanan udara Iran, menurut laporan itu.– BERNAMA

Berita Harian X