Jumaat, 19 April 2024 | 9:28pm
Presiden Iran, Ebrahim Raisi. - Foto Bernama
Presiden Iran, Ebrahim Raisi. - Foto Bernama

Presiden Iran puji serangan Tehran terhadap Israel

TEHRAN: Presiden Iran, Ebrahim Raisi memuji serangan balas Tehran yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Israel hampir seminggu lalu tetapi tidak menyebut letupan yang kedengaran di wilayah tengah negaranya.

Pemimpin dunia menggesa supaya mengelak peningkatan konflik selepas media Amerika Syarikat memetik pegawai berkata, Israel melakukan serangan balas terhadap Iran, selepas serangan peluru berpandu dan dron republik Islam itu terhadap Israel.

"Operasi itu menunjukkan kewibawaan, kehendak rakyat terhadap perpaduan kami," Raisi memberitahu ratusan orang di wilayah Semnan, timur Tehran.

Dalam ucapan itu, beliau tidak merujuk kepada letupan berkenaan dan tidak ada reaksi rasmi sama ada daripada pegawai Iran atau Israel.

Dilaporkan, letupan itu bergema awal Jumaat di wilayah tengah Isfahan, menurut media kerajaan.

Sementara itu, jurucakap agensi angkasa lepas Iran, Hossein Dalirian, merujuk kepada sejenis dron, berkata terdapat percubaan yang gagal dan memalukan untuk menerbangkan quad-copter, yang ditembak jatuh.

Beliau turut menafikan Iran diserang dari luar negara.

"Tiada serangan udara dari luar sempadan terhadap Isfahan atau bahagian lain negara setakat ini," katanya.

Ketua komander tentera Iran, Abdolrahim Mousavi mengaitkan letupan itu sebagai tembakan sistem pertahanan antipesawat pada objek yang mencurigakan.

Beliau berkata, tiada kerosakan dan siasatan sedang dijalankan untuk menilai skala kejadian.

Semalam, Iran melakukan serangan pertamanya secara langsung menyasarkan Israel.

Serangan itu sebagai tindak balas kepada serangan udara pada 1 April yang memusnahkan bangunan konsular Tehran di Damsyik dan membunuh tujuh anggota Pengawal Revolusi, termasuk dua jeneral. -AFP

Berita Harian X