Jumaat, 19 April 2024 | 5:39pm

Israel sasar kedudukan tentera di Syria

BEIRUT: Israel menyasarkan serangannya terhadap kedudukan tentera Syria di selatan negara itu, menurut kerajaan Syria dan seorang pemantau, ketika media Amerika Syarikat (AS) melaporkan Israel menyerang musuh ketatnya, Iran.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Pertahanan Syria berkata, Israel melakukan serangan menggunakan peluru berpandu dan menyasarkan tapak pertahanan udaranya di wilayah selatan hingga menyebabkan kerosakan material.

Menurut pemantau perang Syrian Observatory for Human Rights berkata, Israel menyasarkan kedudukan radar tentera di wilayah selatan Daraa yang berjaya mengesan kemasukan pesawat Israel ke ruang udara Syria.

Ketua Balai Cerap yang berpangkalan di Britain, Rami Abdel Rahman, berkata serangan itu berlaku ketika tentera udara Israel terbang secara intensif di atas wilayah Daraa tanpa pertahanan udara Syria mengambil sebarang tindakan.

Sebelum ini, tentera Israel dilaporkan melakukan ratusan serangan di Syria sejak meletusnya perang saudara di negara jirannya di utara pada 2011, menyasarkan tentera dan pejuang yang disokong Iran.

Tetapi serangan semakin meningkat sejak perang Israel dengan kumpulan pejuang Palestin yang disokong Iran Hamas di Semenanjung Gaza bermula pada 7 Oktober 2023.

Rayan Maarouf, yang mengendalikan laman web baharu anti kerajaan Suwayda24, sebelum ini memberitahu AFP terdapat serangan ke atas kedudukan radar tentera Syria di wilayah Sweida, tanpa menyatakan siapa mereka.

Serangan terbaharu membabitkan letupan dilaporkan berlaku hari ini di tengah Iran, dengan pegawai kanan AS melaporkan serangan Israel.

Agensi berita Fars Iran melaporkan tiga letupan berhampiran pangkalan tentera di wilayah Isfahan, namun agensi berita rasmi IRNA berkata, tiada kerosakan besar.

Israel memberi amaran ia akan bertindak balas selepas Iran melancarkan ratusan dron dan peluru berpandu ke atas Israel pada 13 April dalam serangan yang belum pernah berlaku sebelum ini, iaitu tindakan balas terhadap serangan maut ke atas Konsulat Damsyik. -AFP

Berita Harian X