Jumaat, 19 April 2024 | 3:15pm
Penduduk Palestin berkumpul di sekitar kawah besar akibat pengeboman Israel semalaman di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Penduduk Palestin berkumpul di sekitar kawah besar akibat pengeboman Israel semalaman di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP

Israel terus bedil Gaza

BAITULMAQDIS: Israel terus melancarkan lebih banyak serangan maut ke atas Gaza yang dikepung ketika negara Barat meningkatkan sekatan terhadap program dron tentera Iran sebagai tindak balas kerana menyerang Israel.

Kuasa dunia semakin khuatir sejak Israel dikatakan membalas serangan terhadap Iran pagi tadi, dengan kebimbangan meningkatnya tindakan berbalas serangan yang boleh mendorong ke arah perang lebih luas di Asia Barat.

Keadaan diburukkan lagi apabila Iran semalam memberi amaran jika Israel menyerang tapak atom negaranya dalam tindakan balas yang dijangka, Tehran akan menyasarkan 'kemudahan nuklear' Israel.

Selepas lebih daripada enam bulan dalam perang paling berdarah di Gaza, tentera Israel berkata pihaknya mengebom puluhan sasaran di wilayah itu, ketika Qatar berkata usaha untuk menjadi perantara gencatan senjata tergendala.

Seorang lelaki Palestin meratapi kehilangan orang tersayang di hospital Al-Najjar berikutan pengeboman Israel semalaman di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Seorang lelaki Palestin meratapi kehilangan orang tersayang di hospital Al-Najjar berikutan pengeboman Israel semalaman di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP

Di Rafah, serangan semalaman Israel terhadap kediaman sebuah keluarga Palestin yang kehilangan tempat tinggal dan berlindung di bandar selatan Rafah, menyebabkan sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh.

Saudara-mara dan jiran memberitahu AFP mereka mengorek tanah menggunakan tangan untuk mengeluarkan mayat kanak-kanak dan wanita, dengan menemui anggota tangan dan kaki yang sudah terlerai daripada badan selain cebisan badan manusia .

Tidak lama selepas perang yang berlarutan sejak 7 Oktober lalu, Israel memberitahu penduduk Palestin yang tinggal di utara Gaza untuk berpindah ke 'zon selamat' di selatan wilayah itu iaitu Rafah.

Bagaimanapun sejak itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berikrar menyerang bandar Rafah itu, di mana kira-kira 1.5 juta orang sedang berlindung, melebihi separuh daripada penduduk asal wilayah itu.

Dalam serangan berasingan di sebuah rumah di kejiranan Al-Salam, Rafah semalaman pada Selasa lalu, kru penyelamat menemui mayat lapan ahli keluarga termasuk lima kanak-kanak dan dua wanita, kata Perkhidmatan Pertahanan Awam Gaza. - AFP

Berita Harian X