Jumaat, 19 April 2024 | 10:42am
Seorang wanita membuang undi di pusat mengundi terpencil di kampung Nongriat, semasa fasa pertama pilihan raya umum (PRU) India di Shillong di negeri timur laut Meghalaya, India. - Foto REUTERS
Seorang wanita membuang undi di pusat mengundi terpencil di kampung Nongriat, semasa fasa pertama pilihan raya umum (PRU) India di Shillong di negeri timur laut Meghalaya, India. - Foto REUTERS

Populariti Modi meningkat ketika India mula mengundi

HARIDWAR: Perdana Menteri India, Narendra Modi, kekal popular bagi memenangi pilihan raya umum (PRU) India yang memulakan pengundian hari ini dan berlangsung secara berperingkat selama enam minggu.

Unjuran itu dibuat berasaskan kelemahan parti pembangkang sedia ada dan kemaraan parti pimpinan Modi, Parti Bharatiya Janata (BJP) di negeri yang baharu dimasuki, terutama Tamil Nadu.

Seramai 968 juta rakyat India layak mengundi dalam PRU terbesar di dunia itu, sekali gus menjadi suatu cabaran logistik yang besar.

Namun, ramai pengkritik mendakwa populariti Modi dan BJP dicapai dengan menyalah gunakan kuasa bagi menyerang pembangkang dengan tuduhan rasuah, penyelewengan dan salah laku selain membekukan dana pilihan raya mereka.

Saingan terbesar BJP, Parti Kongres India (Kongres) dan pertubuhan hak asasi manusia mendakwa kerajaan pimpinan Modi mendalangi siasatan rasuah dan salah guna kuasa untuk melemahkan lawan politiknya.

Bagaimanapun, Modi, 73, tetap popular selepas sedekad memegang jawatan yang menyaksikan India berjaya meningkatkan pengaruh diplomatik dan kuasa ekonomi, serta usaha kerajaan pimpinannya membawa kepercayaan majoriti negara itu sejajar dengan ideologi politiknya.

Beliau memimpin BJP yang memerintah melalui dua kemenangan besar pada 2014 dan 2019, dengan sebahagian besar sokongan majoriti penganut Hindu di India.

Orang ramai mengundi tujuh calon yang bertanding pada Pilihan Raya Presiden Mauritania, hari ini. Foto AFP
Orang ramai mengundi tujuh calon yang bertanding pada Pilihan Raya Presiden Mauritania, hari ini. Foto AFP

Penganalisis sudah lama menjangkakan kemenangan Modi susulan perpecahan pakatan pembangkang kepada lebih daripada dua puluh parti, yang sehingga kini ini masih belum menamakan calon perdana menteri mereka.

Tempoh jawatan Modi menyaksikan India mengatasi bekas pemerintah kolonial Britain sebagai ekonomi kelima terbesar di dunia, dan negara Barat berbaris untuk menjadikannya sekutu bagi menentang saingan serantau China yang semakin tegas.

Dengan berbuat demikian, BJP mengetepikan kebimbangan terhadap akhbar India dengan meningkatkan kekangan terhadap mereka, menyekat masyarakat sivil dan mengehadkan kebebasan kumpulan hak asasi manusia seperti Amnesty International.

BJP yang dipimpin Modi kali ini dicabar oleh pakatan yang mempunyai lebih dua puluh parti pembangkang yang bersatu sebagai satu blok dalam PRU.

Ia menuduh kerajaan Modi menggunakan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk menyasarkan pemimpinnya secara terpilih selain bertindak menjejaskan kempen mereka.

Rahul Gandhi, keturunan dinasti politik Kongres paling terkenal di India dengan bapa, nenek dan datuknya pernah berkhidmat sebagai perdana menteri, hilang kelayakan seketika daripada menghadiri Parlimen tahun lalu selepas disabitkan dengan tuduhan fitnah.

Tinjauan pendapat jarang dilakukan dan diterbitkan di India, namun tinjauan Pew yang dilaksanakan tahun lalu mendapati Modi mendapat sokongan hampir 80 peratus orang awam.

Proses pengundian bagi PRU India diadakan secara berkala merangkumi tujuh peringkat antara hari ini hingga 1 Jun, dengan lebih sejuta pusat mengundi di serata India dan jumlah undi dikira sekali gus pada 4 Jun dan keputusan lazimnya diumumkan pada hari yang sama. - AFP

Berita Harian X