Khamis, 18 April 2024 | 5:14pm
Seorang profesional kesihatan mental menawarkan sokongan kepada orang yang menawarkan penghormatan di tugu peringatan untuk mangsa Pembunuhan Beramai-ramai Bondi Junction Westfield di Sydney pada 18 April 2024. - Foto AFP
Seorang profesional kesihatan mental menawarkan sokongan kepada orang yang menawarkan penghormatan di tugu peringatan untuk mangsa Pembunuhan Beramai-ramai Bondi Junction Westfield di Sydney pada 18 April 2024. - Foto AFP

Australia pertimbang beri kewarganegaraan kepada pengawal Pakistan

SYDNEY: Australia sedang mempertimbangkan untuk meluluskan permohonan kewarganegaraan pengawal keselamatan warga Pakistan yang cedera dalam serangan berdarah di pusat beli-belah, di sini.

Perdana Menterinya, Anthony Albanese, berkata pihaknya akan melaksanakan pemberian kewarganegaraan itu kepada Muhammad Taha.

"Ya, kami pasti akan melakukannya," katanya dalam satu program temu bual radio.

Muhammad ditikam dalam insiden serangan menggunakan pisau yang mengorbankan enam orang di kompleks membeli-belah Westfield di Bondi Junction, pada Sabtu.

Suspek, Joel Cauchi, berjaya ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Turut maut dalam serangan itu ialah seorang lagi pengawal keselamatan warga Pakistan, Faraz Tahir.

Pada masa sama, Albanese menyifatkan pembunuhan Faraz sebagai suatu tragedi, namun memuji keberanian kedua-dua pengawal keselamatan yang bertugas mempertahankan pengunjung di kompleks beli-belah itu.

"Muhammad Taha, berhadapan dengan suspek dan menunjukkan keberanian yang luar biasa.

"Kedua-dua lelaki itu meletakkan diri mereka dalam bahaya untuk melindungi orang Australia yang mereka tidak kenal. Kami ingin ucapkan terima kasih," katanya.

Sebelum ini, melalui sesi temubual bersama The Australian, Muhammad, percaya dirinya layak mendapat pengiktirafan dan status kewarganegaraan selepas insiden terbabit.

Menurut laporan itu, Muhammad mempunyai visa yang akan tamat dalam tempoh kurang dari sebulan.

Seorang lagi lelaki yang cuba menghentikan serangan itu adalah Damien Guerot dari Perancis.

Guerot diberikan tawaran kediaman tetap selepas video menunjukkan beliau cuba melawan penyerang tular di laman sosial.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron turut memuji tindakan berani Guerot sebelum ini. - AFP

Berita Harian X