Khamis, 18 April 2024 | 11:47am
Polis tiba di luar Gereja Assyrian Christ The Good Shepherd dan disambut seorang paderi selepas kes serangan pisau berlaku pada Isnin di Wakeley, Sydney, Australia. - Foto REUTERS
Polis tiba di luar Gereja Assyrian Christ The Good Shepherd dan disambut seorang paderi selepas kes serangan pisau berlaku pada Isnin di Wakeley, Sydney, Australia. - Foto REUTERS

Paderi Australia ditikam dengan pisau maafkan pelaku

SYDNEY: Seorang paderi sebuah gereja di Australia yang ditikam dengan pisau sewaktu melakukan siaran langsung memberitahu dirinya pulih serta sudah memaafkan penyerangnya.

"Saya baik-baik saja, pulih dengan cepat… tidak perlu risau atau bimbang.

"Saya memaafkan sesiapa yang melakukan perbuatan ini, saya akan sentiasa mendoakan kamu dan sesiapa yang menghantar kamu untuk melakukan ini, saya juga memaafkan mereka," kata Mar Mari Emmanuel dalam mesej audio yang disiarkan di media sosial yang juga kenyataan pertamanya sejak kejadian itu.

Sebelum ini, dua serangan pisau dalam tempoh tiga hari berlaku di pusat beli-belah berhampiran pantai Bondi sehingga mengorbankan enam orang serta insiden di Gereja Assyrian Christ The Good Shepherd di barat Sydney yang mengejutkan penduduk di kawasan paling ramai penduduk di Australia itu.

Emmanuel yang mempunyai pengikut golongan belia popular di TikTok kerana mengkritik homoseksualiti, vaksinasi COVID-19 dan Islam dalam ucapannya, cedera dalam serangan itu dan ia disyaki sebagai tindakan pengganas yang didorong oleh ekstremisme agama.

Berikutan serangan di gereja itu, seorang remaja lelaki ditahan dan mencetuskan rusuhan di luar gereja selepas orang ramai yang marah bertempur dengan pegawai kecemasan dan meminta penyerang yang disyaki diserahkan kepada mereka.

Bagaimanapun, Emmanuel, dalam perutusannya menggesa jemaahnya untuk bertenang dan menghormati undang-undang.

Sementara itu, dalam kejadian serangan di pusat beli-belah, pihak berkuasa berkata Bondi Junction akan dibuka semula hari ini untuk membolehkan orang ramai memberi penghormatan kepada mangsa.

Premis perniagaan pula dijangka beroperasi semula esok.

Dalam pada itu, datuk bandar majlis tempatan, Paula Masselos berkata, kejadian yang berlaku itu membuatkan penduduk terkejut.

"Dan sekarang ia bertukar kepada kesedihan, ia akan mengambil masa yang agak lama untuk orang ramai dapat menerima kejadian itu," katanya.

Nyalaan lilin oleh orang ramai akan diadakan pada Ahad ini dan buat masa ini lambakan jambangan bunga dibuat di tugu peringatan sementara. - AGENSI

Berita Harian X