Rabu, 17 April 2024 | 4:37pm
Askar dari Tentera Pembebasan Kebangsaan Karen (KNLA) meronda menaiki kenderaan, di bandar sempadan Thailand-Myanmar di bawah kawalan gabungan pasukan pemberontak yang diketuai oleh Kesatuan Kebangsaan Karen, di Myanmar . - Foto REUTERS
Askar dari Tentera Pembebasan Kebangsaan Karen (KNLA) meronda menaiki kenderaan, di bandar sempadan Thailand-Myanmar di bawah kawalan gabungan pasukan pemberontak yang diketuai oleh Kesatuan Kebangsaan Karen, di Myanmar . - Foto REUTERS

Tentera China rancang lebih banyak latihan berhampiran sempadan Myanmar

BEIJING: China merancang untuk mengadakan latihan pertahanan udara dan tembakan langsung berhampiran sempadannya dengan Myanmar mulai hari ini.

Menurut media kerajaan China, latihan seumpama itu adalah pusingan kedua latihan pada bulan ini ketika pertempuran antara junta pemerintah Myanmar dan tentera pemberontak semakin sengit.

Latihan itu menyusuli peningkatan ketara konflik minggu lalu, apabila tentera pemberontak menawan bandar Myawaddy di Myanmar, sebuah pos perdagangan utama berhampiran sempadan Thailand yang juga mendorong aliran pelarian ke Thailand.

Penyiar negeri CCTV berkata, latihan yang dipimpin oleh Komando Teater Selatan China, membentuk sebahagian daripada latihan tahunan, tanpa merujuk kepada pertempuran di negara jiran itu.

Tentera China sentiasa bersedia untuk bertindak balas terhadap kecemasan dan akan lebih tegas melindungi kedaulatan negara, kestabilan sempadan, keselamatan nyawa dan harta benda rakyat.

Kerajaan kendalian tentera Myanmar telah memerangi pemberontakan dalam beberapa bidang sejak menggulingkan kerajaan yang dipilih pada 2021, namun kekalahan di kawasan sempadan sejak Oktober lalu telah kehilangan kawalannya ke atas kawasan yang bersempadan dengan Bangladesh, China dan India.

Bimbang mengenai gangguan perdagangan dan kemasukan pelarian, China telah bertindak sebagai orang tengah dalam konflik terbabit yang telah menyebabkan ratusan ribu orang melarikan diri merentasi sempadan.

Bagaimanapun, kawasan sempadan utara Myanmar dengan China agak tenang sejak rundingan gencatan senjata yang diusulkan oleh China pada Januari.

Latihan darat dan udara awal bulan ini di sempadan Myanmar juga tidak menyebut sebarang kaitan langsung dengan konflik di utara negara jiran itu.

Pada Januari, China menggesa gencatan senjata segera dilaksanakan apabila lima orang cedera di wilayah barat daya Yunnan selepas peluru meriam melintasi Myanmar.

Ketika latihan tembakan secara langsung November lalu, tentera China berkata konflik bersenjata di Myanmar telah menyebabkan kematian dan merumitkan keadaan keselamatan, sambil menambah bahawa ia mempunyai tanggungjawab untuk melindungi nyawa dan harta benda di kawasan sempadan.

"Adalah menjadi tanggungjawab (Tentera Pembebasan Rakyat) untuk menjaga keselamatan sempadan," tambahnya di laman webnya pada masa latihan itu, yang tidak membabitkan unit tentera udara.

Amaran keselamatan oleh kedutaan China pada November dan Disember lalu menggesa rakyat untuk mengosongkan bandar komersial utama Laukkai di wilayah Kokang Myanmar yang bergolak lama di negeri Shan.

Pada 2015, peluru dari kawasan itu mendarat merentasi sempadan di Yunnan di tengah-tengah pertempuran antara tentera kerajaan Myanmar dan pemberontak, kira-kira hanya 500 meter dari sempadan.

Menurut laporan media kerajaan dan kumpulan hak asasi manusia, pada 2009, pertempuran di kawasan itu telah menyebabkan puluhan ribu orang melarikan diri merentasi sempadan ke China pada tahun 2009. - REUTERS

Berita Harian X