Selasa, 16 April 2024 | 10:33am
Gambar fail perbarisan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC)A ketika ‘Minggu Suci Pertahanan’, pada September 2019. - Foto AFP
Gambar fail perbarisan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC)A ketika ‘Minggu Suci Pertahanan’, pada September 2019. - Foto AFP

'Barat perlu kawal Israel atau terima tindak balas lebih kuat daripada sebelumnya'

TEHRAN: Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) menegaskan pihaknya tidak berhasrat untuk meluaskan peperangan dengan Israel, tetapi akan berbuat demikian sekiranya Zionis menyerang negara itu.

"Kami tidak berusaha untuk meluaskan peperangan, tetapi kami akan 'memotong setiap tangan' yang menyerang negara kami," kata jurucakap tentera Iran.

IRGC berkata, sebarang pencerobohan daripada Israel atau sekutunya akan 'disambut dengan tindak balas yang lebih kuat daripada sebelumnya'.

"Kami bukan penyokong perang dan kami menyeru Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan Jerman untuk berhenti menyokong Israel.

"Tindak balas kami menunjukkan sebahagian daripada kekuatan kami, dan peluru berpandu serta perarakan kami melintasi sistem pertahanan tercanggih Israel yang digelar Iron Dome (Kubah Besi)," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, Iron Dome gagal memintas serangan roket yang dilancarkan Hamas.

Ia berlaku apabila Hamas membuat keputusan untuk menghantar sekitar 5,000 roket sekali gus ke Israel, sehingga didakwa Iron Dome menjadi buntu.

Iron Dome ialah satu sistem pertahanan Israel yang melancarkan roket pemintas dari darat ke udara pada jarak yang dekat sehingga 70 kilometer.

Ia seperti 'perisai' untuk berlindung dan memintas roket-roket, jet pejuang, helikopter, dan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV).

Sistem ini dilengkapi dengan radar dan misil pemintas Tamir yang menjejaki dan meneutralisasikan misil atau ancaman roket.

Pemintas Tamir sepanjang tiga meter (m), berdiameter 0.16 m, 90 kilogram berat, dan boleh bergerak sejauh 2 hingga 40 km.

Setakat ini, berdasarkan kepada rekod, teknologi Iron Dome ini amat canggih hanya Israel memiliki sistem pertahanan ini, selain Singapura pada 2016 pernah membeli 'Multi Mission Radar' (sebahagian sistem pertahanan Iron Dome). - AGENSI

Berita Harian X