Selasa, 16 April 2024 | 9:31am
Lapangan Terbang Tel Aviv Ben Gurion. - Foto AGENSI
Lapangan Terbang Tel Aviv Ben Gurion. - Foto AGENSI

Konflik Iran-Israel: Syarikat penerbangan utama batal penerbangan ke Tel Aviv

ANKARA: Beberapa syarikat penerbangan utama membatalkan penerbangan mereka ke Tel Aviv, Israel di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat di rantau itu berikutan serangan Iran ke atas Israel.

American United Airlines pada Isnin, berkata pihaknya membatalkan penerbangan ke Tel Aviv pada hari sama.

Syarikat penerbangan itu juga membatalkan penerbangan dari Washington Dulles ke Amman, Jordan.

"Kami akan terus memantau keadaan dengan teliti dan akan membuat keputusan mengenai penerbangan akan datang dengan tumpuan kepada keselamatan pelanggan dan anak kapal kami," katanya kepada Anadolu dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu selanjutnya menyatakan bahawa semua krew United Airlines di rantau itu dipindahkan dan mereka menyambung semula penerbangan berjadual tetap antara Newark Liberty dan Dubai.

Begitu juga, Air Canada dalam satu kenyataan, berkata pihaknya menunda operasi ke dan dari Tel Aviv pada Ahad, 14 April 2024.

"Penerbangan ke dan dari Tel Aviv pada Isnin, 15 April dan Selasa, 16 April dibatalkan," katanya, sambil menambah penerbangan seterusnya dari Toronto adalah pada 18 April.

"Kami kekal berhubung dengan kerajaan Kanada dan akan terus memantau keadaan dengan teliti, menyesuaikan dengan sewajarnya," katanya.

Beberapa syarikat penerbangan Barat juga menggantung penerbangan ke Iran.

Syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa dan Austrian Airlines membatalkan perkhidmatan ke Tehran sekurang-kurangnya sehingga 18 April, menurut laporan media.

Perkhidmatan terus Qantas dari Perth ke Lapangan Terbang Heathrow London juga ditunda kerana penerbangan panjang hanya boleh dilakukan dengan menggunakan ruang udara Iran. - AGENSI

Berita Harian X