Isnin, 15 April 2024 | 8:54am
Pemintasan Israel terhadap puluhan peluru berpandu dan dron Iran menyebabkan kerugian sehingga lima bilion shekel (AS$1.35 bilion) kepada Tel Aviv. - Foto fail AFP
Pemintasan Israel terhadap puluhan peluru berpandu dan dron Iran menyebabkan kerugian sehingga lima bilion shekel (AS$1.35 bilion) kepada Tel Aviv. - Foto fail AFP

Israel rugi AS$1.35 bilion pintas peluru berpandu, dron Iran

BAITULMAQDIS: Pemintasan Israel terhadap puluhan peluru berpandu dan dron Iran menyebabkan kerugian sehingga lima bilion shekel (AS$1.35 bilion) kepada Tel Aviv, lapor media Israel pada Ahad.

Akhbar Yedioth Ahronoth memetik bekas penasihat kewangan kepada ketua kakitangan Israel, Brigadier Jeneral Ram Aminach, berkata 'kos pertahanan malam tadi dianggarkan antara empat dan lima bilion shekel (AS$1.08 hingga AS$1.35 bilion).

"Saya hanya bercakap mengenai pemintasan terhadap apa yang dilancarkan oleh Iran dan bukannya kecederaan yang kecil kali ini.

"Satu peluru berpandu 'Arrow' digunakan untuk memintas peluru berpandu balistik Iran berharga AS$3.5 juta, manakala kos satu peluru berpandu 'Magic Wand' adalah AS$1 juta, sebagai tambahan kepada kumpulan pesawat yang terbabit dalam memintas dron Iran," kata Aminach.

Terdahulu pada Ahad, akhbar Israel, Haaretz memetik jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari sebagai berkata, kira-kira 350 peluru berpandu dan dron dilancarkan dari Iran ke Israel, kebanyakannya berjaya dipintas.

Beliau mengesahkan, kerosakan kecil berlaku di pangkalan udara Nevatim di Beersheba, manakala '99 peratus daripada ancaman terhadap Israel sudah dipintas'.

"Sebanyak 25 daripada 30 peluru berpandu jelajah dipintas dan daripada lebih 120 peluru berpandu balistik, hanya beberapa daripadanya menembusi wilayah Israel dan mendarat di pangkalan udara Nevatim," katanya.

Hagari menegaskan, 'percubaan Iran untuk memusnahkan keupayaan tentera udara Israel gagal dan pangkalan Nevatim terus beroperasi.

Katanya, selain pelancaran dari Iran, peluru berpandu dan dron turut dilancarkan dari wilayah Lubnan, Iraq dan Yaman.

Iran melakukan serangan melalui udara pada Sabtu terhadap Israel sebagai tindakan balas terhadap serangan udara pada 1 April lalu ke atas kemudahan diplomatiknya di ibu negara Syria.

Serangan berkenaan membunuh sekurang-kurangnya tujuh anggota Kor Pengawal Revolusi Islam Iran, termasuk dua jeneral tertinggi.

Walaupun Iran mendakwa serangan itu ke atas sasaran tentera tertentu, Israel menegaskan kebanyakan serangan digagalkan sistem pertahanan udara walaupun peluru berpandu menyerang pangkalan tentera di wilayah selatan. - AGENSI

Berita Harian X