Sabtu, 13 April 2024 | 11:04am
Penduduk Palestin memeriksa kerosakan pada kediaman mereka selepas serangan terbaharu Israel di Kejiranan Daraj di Gaza. - Foto AFP
Penduduk Palestin memeriksa kerosakan pada kediaman mereka selepas serangan terbaharu Israel di Kejiranan Daraj di Gaza. - Foto AFP

Israel terus hentam tengah Gaza dengan bedilan

GAZA: Tentera Israel didakwa melancarkan serangan besar-besaran di tengah Gaza ketika ketegangan serantau memuncak selepas Iran mengancam tindakan balas terhadap serangan Israel di Syria yang mengorbankan dua jeneral Pengawal Revolusi Iran (IRG).

Ketika rundingan untuk gencatan senjata dan pembebasan tebusan berlarutan tanpa hala, kebimbangan bahawa Iran akan melancarkan serangan ke atas Israel, mendorong Amerika Syarikat (AS) untuk menghantar bantuan ke Asia Barat sebagai langkah berjaga-jaga.

Presiden AS, Joe Biden berkata beliau menjangkakan Iran akan cuba menyerang Israel tidak lama lagi, namun memberi amaran supaya tidak menyerang sekutunya sebagai tindakan balas terhadap serangan 1 April ke atas konsulat Iran di Damsyik, Syria.

Pada masa sama, berkuasa di Gaza melaporkan puluhan serangan udara baharu, selepas kebanyakan tentera Israel berundur dan berkumpul semula sejak beberapa hari kebelakangan ini, difahamkan untuk melancarkan serangan baharu di tengah Gaza.

Pejabat media Hamas berkata, 25 orang dibawa ke hospital di Deir al-Balah akibat serangan udara yang memusnahkan sebuah rumah.

Penduduk, Mohammed al-Rayes, 61, memberitahu dia melarikan diri dari serangan udara dan tembakan artileri Israel di Nuseirat.

"Berlaku kebakaran dan kemusnahan, dengan begitu ramai syahid dan terbaring di jalanan," katanya.

Seorang mangsa yang cedera dalam serangan militan di bandar Reasi, tiba di hospital di Jammu, selepas lelaki bersenjata menyerang hendap sebuah bas di Kashmir yang ditadbir India. - Foto AFP
Seorang mangsa yang cedera dalam serangan militan di bandar Reasi, tiba di hospital di Jammu, selepas lelaki bersenjata menyerang hendap sebuah bas di Kashmir yang ditadbir India. - Foto AFP

Pengeboman terbaharu di Gaza berlaku selepas Israel memberitahu ia akan mengukuhkan pertahanan udara dan menghentikan cuti unit tempur, berikutan serangan udara pada 1 April lalu yang memusnahkan bangunan konsulat Iran di Damsyik.

Semalam, Rumah Putih berkata ancaman dari Iran adalah nyata dan semua pihak di minta terus berwaspada.

Ditanya berhubung mesejnya kepada Iran yang nekad mahu menyerang Israel, Biden berkata: "Jangan."

"Kami menumpukan kepada pertahanan Israel, kami akan menyokong dan membantu mempertahankan Israel dan mesej saya kepada Iran, anda tidak akan berjaya," katanya.

Seorang pegawai pertahanan berkata Pentagon memindahkan aset tambahan ke rantau itu untuk meningkatkan usaha pencegahan serantau dan meningkatkan perlindungan untuk pasukan AS di pangkalannya di Asia Barat.

Khamis lalu, selepas membuat panggilan dengan rakan sejawatannya dari Australia, Britain dan Jerman, Menteri Luar Iran,i Hossein Amir-Abdollahian berkata: "Iran tidak mahu memperluaskan skop perang tetapi hanya membalas serangan terhadap mereka."

Beliau turut menegaskan, Iran tidak mempunyai pilihan selain bertindak balas terhadap serangan maut ke atas misi diplomatiknya selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNSC) gagal mengambil tindakan.

Semalam, Kumpulan Hezbollah yang disokong Iran di Lubnan berkata ia melepaskan puluhan roket Katyusha ke arah kedudukan meriam Israel, satu siri pengeboman yang dikatakan sebagai tindak balas kepada serangan Israel di selatan.

Tentera Israel berkata kira-kira 40 pelancaran dikenal pasti, beberapa daripadanya berjaya dipintas dan tiada kecederaan dilaporkan. - AFP

Berita Harian X