Rabu, 10 April 2024 | 3:40pm
Kapal pemintas milik Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS), Harriet Lane, bersama anggota Jabatan Perikanan Vanuatu dan pegawai Maritim Polis memeriksa sebuah kapal nelayan di Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Vanuatu di Lautan Pasifik Selatan. - Foto REUTERS
Kapal pemintas milik Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS), Harriet Lane, bersama anggota Jabatan Perikanan Vanuatu dan pegawai Maritim Polis memeriksa sebuah kapal nelayan di Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Vanuatu di Lautan Pasifik Selatan. - Foto REUTERS

AS pertahan tindakan naik, periksa kapal nelayan China di Pasifik Selatan

SYDNEY: Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) menolak dakwaan seorang diplomat China bahawa tindakan menaiki dan memeriksa bot nelayan China baru-baru ini di Kepulauan Pasifik bersama polis tempatan adalah menyalahi undang-undang.

Sebaliknya, tegas Pengawal pantai AS, ia dilakukan atas permintaan negara-negara Pasifik untuk melakukan rondaan bersama bagi melindungi sumber perikanan pantai mereka.

Bulan lalu, Reuters melaporkan bahawa enam bot nelayan China didapati melanggar undang-undang perikanan Vanuatu selepas diperiksa oleh polis tempatan yang menaiki bot Pengawal Pantai AS yang pertama untuk meronda perairan negara Kepulauan Pasifik itu.

Pengawal Pantai AS dan polis Kiribati juga menaiki dua bot nelayan China semasa rondaan pada Februari, rondaan bersama pertama dalam sedekad, tetapi tidak menemui sebarang masalah di dalamnya.

Duta Besar China ke New Zealand, Wang Xiaolong, dalam surat yang diedarkan oleh kedutaan China pada Jumaat, berkata perjanjian rondaan kapal antara AS dan Vanuatu, Kiribati serta Papua New Guinea untuk aktiviti penguatkuasaan undang-undang terhadap kapal nelayan China adalah melanggar undang-undang antarabangsa.

Dalam surat itu, Wang mendakwa perjanjian itu tidak mengikat armada nelayan China.

"China tidak diwajibkan menerima penguatkuasaan undang-undang negara selain negara pemilik pesisisr pantai berkenaan untuk aktiviti menangkap ikan di zon ekonomi eksklusif (EEZ) mereka," menurut surat itu.

Bagaimanapun Laksamana Muda Pengawal Pantai AS, Michael Day, berkata kenyataan duta China itu tidak tepat dan perjanjian rondaan kapal dua hala mematuhi undang-undang antarabangsa.

"Kami melakukan ini atas arahan negara tuan rumah yang menjemput kami untuk bekerjasama dengan mereka dalam melindungi EEZ mereka.

"Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka adalah berdasarkan peraturan dan norma serta undang-undang antarabangsa.

"Saya gembira untuk mengatakan pengawal pantai mematuhi semua undang-undang antarabangsa serta beroperasi secara sah," katanya pada sidang media di Honolulu sempena kepulangan kapal pemintas milik Pengawal Pantai AS, Harriet Lane, selepas operasi di Kepulauan Pasifik.

Komander Nicole Tesoniero berkata, perjanjian rondaan kapal dengan Samoa, Fiji, Vanuatu dan Papua New Guinea menyaksikan pemeriksaan 23 bot nelayan beroperasi di 'lokasi paling jauh di EEZ sesebuah negara' dan 12 kesalahan ditemui polis tempatan.

"Penyasaran kapal dalam zon ekonomi eksklusif serta tindakan penguatkuasaan semuanya ditentukan oleh negara rakan kongsi kami," katanya.

Rondaan itu dilakukan selepas Vanuatu dan Kepulauan Solomon, negara Kepulauan Pasifik yang mempunyai hubungan rapat dengan China, menghalang Pengawal Pantai AS datang ke pelabuhan untuk mengisi minyak pada 2022 dan 2023 ketika ia rondaan membanteras nelayan haram bagi pihak blok wilayah Forum Kepulauan Pasifik.

Australia, New Zealand dan Britain juga meningkatkan rondaan tentera laut bagi membanteras perikanan haram dengan kerjasama negara Kepulauan Pasifik.

Kebanyakan negara berkenaan tidak mempunyai tentera atau bot untuk memantau perairan pantai serta EEZ yang menjangkau berjuta-juta kilometer. - REUTERS

Berita Harian X