Rabu, 10 April 2024 | 9:33am
Pakar forensik dan Pertahanan Awam Palestin menemui cebisan mayat manusia di perkarangan Hospital Al-Shifa, hospital terbesar di Gaza, yang kini musnah sama sekali akibat serangan Israel. - Foto AFP
Pakar forensik dan Pertahanan Awam Palestin menemui cebisan mayat manusia di perkarangan Hospital Al-Shifa, hospital terbesar di Gaza, yang kini musnah sama sekali akibat serangan Israel. - Foto AFP

Hamas dakwa cadangan Israel tidak penuhi tuntutan Palestin

KAHERAH: Hamas menegaskan cadangan Israel mengenai gencatan senjata dalam perang mereka di Gaza tidak memenuhi permintaan Palestin, tetapi ia akan mengkaji tawaran itu dengan lebih lanjut dan menyampaikan maklum balas kepada pengantara.

Cadangan itu diserahkan kepada gerakan Islam Palestin oleh pengantara Mesir dan Qatar pada rundingan di Kaherah yang bertujuan untuk mencari jalan keluar daripada perang dahsyat di Semenanjung Gaza, yang kini memasuki bulan ketujuh.

Rundingan di Kaherah, yang turut dihadiri oleh pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS), William Burns, setakat ini gagal mencapai kejayaan ke arah menghentikan perang.

Hamas menjelaskan, pihaknya berminat untuk mencapai persetujuan bagi menamatkan pencerobohan ke atas rakyatnya, tetapi Israel bertegas tidak akan memenuhi mana-mana tuntutan dan menerima penentangan mereka.

Justeru, ia akan mengkaji semula cadangan itu dan kembali kepada pengantara dengan jawapannya.

Semalam, tentera Israel tetap meneruskan serangan udara di bahagian tengah dan selatan Gaza termasuk memusnahkan sebuah rumah keluarga di Al-Nusseirat yang mengorbankan 14 orang, menurut televisyen Al Aqsa Hamas.

pakar forensik Palestin memeriksa cebisan mayat manusia yang ditemui di Hospital Al-Shifa, hospital terbesar di Gaza, yang kini musnah sama sekali akibat serangan Israel. - Foto AFP
pakar forensik Palestin memeriksa cebisan mayat manusia yang ditemui di Hospital Al-Shifa, hospital terbesar di Gaza, yang kini musnah sama sekali akibat serangan Israel. - Foto AFP

Serangan udara lain dilaporkan di Deir al-Balah di tengah Gaza dan Rafah di bahagian selatan.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sendiri bertegas untuk serangan darat ke atas Rafah, di mana lebih sejuta orang awam yang kehilangan tempat tinggal mencari perlindungan, walaupun rayuan antarabangsa semakin memuncak supaya ia tidak dilakukan.

Sementara itu, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, berkata lebih 400 trak bantuan dibenarkan untuk memasuki Gaza pada hari sebelumnya iaitu jumlah paling banyak sejak perang bermula enam bulan lalu.

Beliau berkata, tawaran gencatan senjata yang baik sudah dikemukakan kepada Hamas, dan sepatutnya diterima.

Israel berkata, bantuan bergerak ke Gaza dengan lebih cepat selepas tekanan antarabangsa untuk meningkatkan akses, tetapi jumlah itu dipertikaikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana ia masih kurang daripada kadar minimum untuk memenuhi keperluan kemanusiaan.

Dalam pada itu, terdapat tanda awal persiapan jelas untuk serangan darat di Rafah apabila media Israel melaporkan bahawa Kementerian Pertahanan Israel membeli 40,000 khemah untuk menempatkan penduduk wilayah itu yang mahu dipindahkan.

Anggota pasukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memeriksa Hospital Al-Shifa, hospital terbesar di Gaza, yang kini musnah sama sekali akibat serangan Israel. - Foto AFP
Anggota pasukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memeriksa Hospital Al-Shifa, hospital terbesar di Gaza, yang kini musnah sama sekali akibat serangan Israel. - Foto AFP

AS memberi amaran kepada Israel supaya tidak menyerbu Rafah kerana risiko tinggi kematian orang awam. Justeru, pegawai AS dan Israel akan bertemu secara peribadi dalam beberapa minggu untuk membincangkan perkara itu, menurut Rumah Putih.

"Saya tidak menjangkakan apa-apa tindakan akan diambil sebelum rundingan itu dan dalam hal ini saya tidak nampak apa-apa yang akan berlaku.

"Kami tetap yakin bahawa operasi ketenteraan besar di Rafah akan menjadi sangat berbahaya bagi orang awam," kata Blinken kepada pemberita di Washington.

Pasukan kecemasan Palestin yang disokong oleh pertubuhan antarabangsa menyelongkar runtuhan Hospital Al Shifa di Bandar Gaza dan bandar Khan Younis yang hancur di selatan berikutan pengunduran tentera Israel.

Setakat ini, pasukan itu menemui 409 mayat rakyat Palestin yang terbunuh di hospital dan kejiranan sekitarnya dan di Khan Younis, menurut Mahmoud Basal, jurucakap Perkhidmatan Kecemasan Awam Gaza yang dikendalikan Hamas.

Bagaimanapun, Israel berkata, Al Shifa digunakan sebagai pangkalan Hamas, yang dinafikan kumpulan pejuang itu. - REUTERS

Berita Harian X