Isnin, 8 April 2024 | 11:03pm
Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi (tengah), diiringi ketua perisikan, Mejar Jeneral Abbas Kamel (dua dari kanan), bertemu dengan Pengarah CIA William Burns (dua dari kiri) dan Duta AS ke Mesir, Herro Mustafa Garg (kiri) di Istana Presiden di Kaherah, Mesir. - Foto AFP
Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi (tengah), diiringi ketua perisikan, Mejar Jeneral Abbas Kamel (dua dari kanan), bertemu dengan Pengarah CIA William Burns (dua dari kiri) dan Duta AS ke Mesir, Herro Mustafa Garg (kiri) di Istana Presiden di Kaherah, Mesir. - Foto AFP

Israel, Hamas pudarkan harapan gencatan senjata di Gaza

GAZA: Kedegilan Israel dan Hamas menunjukkan seolah-olah tiada harapan bagi kejayaan rundingan di Kaherah mencapai gencatan senjata di Gaza.

Malah, perjanjian pertukaran pembebasan tebusan Israel diculik Hamas dengan Tahanan Palestin di penjara Israel juga tidak melaporkan 'kemajuan yang ketara', menurut media berkaitan kerajaan Mesir.

Ketika perang Gaza berlanjutan memasuki bulan ketujuh, Israel berada di bawah tekanan antarabangsa yang semakin meningkat untuk bersetuju bagi gencatan senjata, termasuk daripada sekutu utamanya dan pembekal senjata, Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menegaskan semalam bahawa selepas setengah tahun berperang, Israel hanya 'selangkah lagi daripada kemenangan' dan berikrar untuk mengalahkan pejuang Hamas yang masih tinggal di bandar Rafah di selatan Gaza.

Bagaimanapun, pada hari yang sama, tentera Israel mengumumkan telah menarik pasukannya keluar dari selatan Gaza, walaupun komander tentera menegaskan pengunduran itu adalah bersifat taktikal dan tidak menandakan perang berakhir.

Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, berkata tentera akan bersedia untuk misi masa depan, termasuk operasi di Rafah, dekat sempadan Mesir di mana hampir 1.5 juta penduduk Gaza tinggal di tempat perlindungan dan khemah yang sesak.

Di tengah-tengah ancaman dan pertempuran yang berterusan, Netanyahu menghantar wakil ke rundingan gencatan senjata baru yang bermula di Kaherah semalam, disertai oleh negara pengantara AS, Qatar dan Mesir.

Presiden AS, Joe Biden, menghantar ketua CIA, Bill Burns ke rundingan itu, tiga hari selepas panggilan telefon ringkas dengan Netanyahu, di mana Biden menegaskan pertempuran perlu dihentikan dan langkah lebih besar diambil bagi membantu serta melindungi orang awam Gaza.

Akhbar berita berkaitan kerajaan Mesir, Al-Qahera, melaporkan 'kemajuan ketara dicapai dalam beberapa isu yang dipertikaikan', memetik sumber pegawai Mesir berpangkat tinggi yang tidak dinamakan.

Delegasi Qatar dan Hamas kemudian meninggalkan Kaherah dan dijangka kembali dalam masa dua hari untuk memuktamadkan syarat perjanjian, manakala pasukan AS dan Israel juga merancang 48 jam perundingan.

Bagaimanapun, saluran berita Ynet Israel, yang memetik seorang pegawai Israel yang tidak dinamakan, berkata laporan Mesir yang optimis itu tidak mencerminkan keadaan sebenar dan menegaskan perjanjian masih belum dicapai.

"Perjalanan masih jauh dan tiada apa-apa yang dramatik buat waktu ini," kata pegawai Israel berkenaan.

Seorang lagi pegawai kanan Israel, dipetik oleh Ynet sebagai berkata, semua pihak diminta bersabar kerana terdapat masih ada potensi untuk rundingan berjaya.

Sementara itu, seorang pegawai kanan Hamas memberitahu AFP, pihaknya tidak boleh bercakap mengenai 'kemajuan konkrit' setakat ini, dengan perselisihan faham tertumpu kepada usaha membawa pelarian Palestin kembali ke kota Gaza di utara. - AFP

Berita Harian X