Isnin, 8 April 2024 | 12:21pm
Kelongsong peluru yang ditemui di Khan Yunis selepas Israel menarik pasukan daratnya keluar dari selatan Semenanjung Gaza, enam bulan selepas perang dahsyat sejak 7 Oktober. - Foto AFP
Kelongsong peluru yang ditemui di Khan Yunis selepas Israel menarik pasukan daratnya keluar dari selatan Semenanjung Gaza, enam bulan selepas perang dahsyat sejak 7 Oktober. - Foto AFP

Israel bersiap sedia untuk operasi tentera di Rafah

GAZA: Pemimpin Israel hari ini sedang bersiap sedia untuk melaksanakan operasi ketenteraan di bandar selatan Gaza, Rafah, kawasan di mana kebanyakan penduduk wilayah Palestin melarikan diri selepas enam bulan pertempuran.

Rundingan di Kaherah yang bertujuan sebagai pengantaraan untuk gencatan senjata mencapai "kemajuan ketara", dengan lebih banyak rundingan dijangka dalam masa beberapa hari akan datang, lapor Al-Qahera hari ini.

Tekanan antarabangsa meningkat ke atas Israel untuk menamatkan perang, dengan sekutu utamanya, Amerika Syarikat (AS) pada minggu lalu menuntut gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan berserta peningkatan penghantaran bantuan.

Israel menarik pasukannya keluar dari selatan Semenanjung Gaza semalam. Bagaimanapun, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant berkata, tentera sudah meninggalkan bandar Khan Yunis untuk bersiap sedia bagi misi akan datang termasuk di Rafah.

Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berkata, Israel selangkah lagi daripada kemenangan.

Selepas tentera meninggalkan kawasan di dalam dan sekitar Khan Yunis yang sebahagian besarnya musnah, sekumpulan penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal bergerak ke sana, dengan harapan untuk kembali ke rumah mereka dari tempat perlindungan sementara di Rafah.

Muhammad Yunis, 51, warga Palestin di utara Gaza, tidak melihat apa-apa selain kehilangan.

"Tidakkah pengeboman, kematian dan kemusnahan cukup?" Masih ada mayat di bawah runtuhan. Kami dapat menghidu bau busuk itu," katanya.

Perang itu tercetus selepas serangan pejuang Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober, yang mengakibatkan kematian 1,170 orang.

Serangan balas Israel membunuh sekurang-kurangnya 33,175 orang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan.

Di Kaherah, Al-Qahera melaporkan "kemajuan penting yang dicapai dalam beberapa perkara yang dipertikaikan perjanjian", memetik sumber pegawai Mesir berpangkat tinggi.

Katanya, delegasi Qatar dan Hamas meninggalkan Kaherah dan dijangka kembali "dalam masa dua hari untuk memuktamadkan syarat perjanjian."

Delegasi AS dan Israel dijangka meninggalkan ibu negara Mesir "dalam masa beberapa jam akan datang" dan rundingan dijangka berterusan dalam tempoh 48 jam akan datang.

Berita Harian X