Ahad, 7 April 2024 | 1:41pm
Seorang wanita Palestin duduk memegang bekas kosong di luar khemah yang dibina di tengah runtuhan bangunan yang musnah akibat seranagn Israel di Rafah, di selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Seorang wanita Palestin duduk memegang bekas kosong di luar khemah yang dibina di tengah runtuhan bangunan yang musnah akibat seranagn Israel di Rafah, di selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP

Pertempuran sengit di Khan Younis sebelum rundingan gencatan senjata Gaza

GAZA: Ketika Hamas menghantar delegasi ke Kaherah bagi membincangkan gencatan senjata, bantuan kemanusiaan dan penghantaran pulang pelarian, tentera Israel serta pejuang Hamas dilapor terbabit dalam pertempuran sengit sekitar Khan Younis.

Sayap ketenteraan Hamas, Briged Qassam, mendakwa mereka membunuh sekurang-kurangnya 14 askar Israel ketika pertempuran itu, beberapa jam lalu.

Hamas dalam kenyataan semalam, berkata delegasi dipimpin Timbalan Ketuanya, Khalil Al-Hayya, dijadual ke Kaherah hari ini, bagi membincangkan proses gencatan senjata, sebagai maklum balas jemputan negara perantara, Mesir.

Sementara itu, sumber berkata, Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS), Bill Burns, tiba di Kaherah petang semalam, untuk menghadiri perbincangan hari ini.

Agensi berita Al-Qahera, Mesir semalam, melaporkan Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani dan delegasi Israel juga dijangka menyertai sesi perbincangan itu.

Katanya, Burns dan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al-Thani akan menyertai perantara, Mesir untuk perbincangan tidak langsung antara delegasi Israel dan Hamas, hari ini.

Hamas sebelum ini, mengulangi tuntutannya pada 14 Mac lalu, sebelum resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) meminta gencatan senjata di Gaza diluluskan pada 25 Mac.

Ia termasuk gencatan senjata kekal, penarikan balik pasukan Israel dari Gaza, pemulangan pelarian serta perjanjian pertukaran 'serius' tahanan Palestin untuk tebusan Israel yang di culik di Gaza.

Orang ramai menyertai bantahan menyokong penduduk Palestin di Gaza, di perkarangan Al-Aqsa sempena malam Lailatul Qadar semasa bulan suci Ramadan. - Foto REUTERS
Orang ramai menyertai bantahan menyokong penduduk Palestin di Gaza, di perkarangan Al-Aqsa sempena malam Lailatul Qadar semasa bulan suci Ramadan. - Foto REUTERS

Kabinet Israel dijangka mengadakan pertemuan hari ini, bagi memutuskan sama ada Israel juga akan mengambil bahagian dalam perbincangan terbabit memandangkan kerajaan Israel menghadapi lonjakan tekanan dari dalam negara dan di AS.

Perunding AS, Israel dan Hamas dijangka berada di Kaherah hujung minggu ini bagi membincangkan proses gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tawanan.

Gesaan memuncak bagi gencatan senjata menyusuli pengakuan tentera Israel berhubung kematian tujuh pekerja badan amal di Gaza, selain rejim Zionis memaklumkan dua pegawai atasannya dipecat ekoran kejadian itu.

Pengakuan itu bagaimanapun tidak meredakan gesaan untuk siasatan bebas dilakukan.

Kematian pekerja World Central Kitchen (WCK) berpangkalan di AS pada 1 April lalu, menyebabkan hubungan tegang antara Presiden AS, Joe Biden dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Biden menggesa 'gencatan senjata segera' dan buat julung kalinya mensyaratkan bahawa sokongan AS kepada Israel bergantung kepada kesungguhan regim Zionis itu menghentikan pembunuhan orang awam dan meningkatkan bantuan kemanusiaan.

Berdasarkan statistik Israel, perang di Gaza tercetus akibat serangan Hamas yang mengorbankan 1,170 orang di selatan Israel, kebanyakannya orang awam, selain 250 tebusan diculik dengan 130 daripadanya masih berada di Gaza, pada 7 Oktober lalu.

Serangan balas Israel ke atas Hamas pula membunuh sekurang-kurangnya 33,137 mangsa di Gaza, kebanyakan wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan di wilayah dikuasai Hamas. - AGENSI

Berita Harian X