Sabtu, 6 April 2024 | 4:29pm
Polis Iran berkawal di Tehran. - Foto REUTERS
Polis Iran berkawal di Tehran. - Foto REUTERS

Iran dakwa tangkap anggota kanan ISIS dan dua yang lain

TEHRAN: Polis Iran hari ini mengumumkan penahanan seorang anggota kanan kumpulan DAESH (ISIS) bersama dua lagi individu lain yang didakwa merancang serangan berani mati menjelang sambutan Aidilfitri minggu depan, menandakan berakhirnya bulan suci Ramadan.

Menurut media Iran, polis menyatakan Mohammad Zaker yang dikenali sebagai 'Ramesh' dan dua anggota yang lain ditangkap di Karaj, barat ibu negara Tehran susulan pertempuran.

Selain itu, lapan yang lain yang bersama lelaki itu turut ditahan.

Pada Januari lalu, kumpulan DAESH mengaku bertanggungjawab atas dua letupan di Iran yang mengorbankan hampir 100 orang dan mencederakan ramai ketika acara sebuah peringatan yang menandakan ulang tahun keempat pembunuhan komander tertinggi Qassem Soleimani di Iraq pada 2020 oleh dron Amerika Syarikat (AS).

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di saluran Telegram, kumpulan militan Muslim Sunni yang mempunyai kebencian mendalam terhadap mazhab Syiah yang dominan di Iran, berkata dua anggota ISIS meletupkan tali pinggang yang dipasang alat letupan ke arah orang ramai yang berkumpul di tanah perkuburan di Bandar Kerman di tenggara Iran.

Dua tahun lalu, kumpulan DAESH mengaku bertanggungjawab ke atas serangan yang disasarkan terhadap masjid Syiah di Iran yang mengorbankan 15 orang.

Serangan terdahulu yang didakwa didalangi kumpulan DAESH itu termasuk pengeboman berkembar pada 2017 yang menyasarkan parlimen Iran dan makam pengasas Republik Islam itu, Ayatollah Ruhollah Khomeini. - REUTERS

Berita Harian X