Khamis, 4 April 2024 | 1:33pm
Ucapan Ketua Hamas, Ismail Haniyeh, yang direkodkan lebih awal, disiarkan ketika majlis sambutan Hari Al-Quds di Beirut, Lubnan. - Foto REUTERS
Ucapan Ketua Hamas, Ismail Haniyeh, yang direkodkan lebih awal, disiarkan ketika majlis sambutan Hari Al-Quds di Beirut, Lubnan. - Foto REUTERS

Gencatan senjata hanya jika Israel keluar dari Gaza - Hamas

KAHERAH: Ketua Hamas, Ismail Haniyeh, menegaskan yang pihaknya berpegang tegas kepada syarat gencatan senjata di Semenanjung Gaza, terutama pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Gaza.

Walaupun terdapat usaha baharu untuk mencapai perjanjian, usaha negara pengantara termasuk Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar, tidak menunjukkan sebarang tanda kemajuan.

"Kami komited dengan tuntutan merangkumi gencatan senjata kekal, pengunduran menyeluruh dan lengkap musuh dari Semenanjung Gaza dan kepulangan semua orang yang kehilangan tempat tinggal ke rumah mereka.

"Ia termasuk membenarkan semua bantuan diperlukan untuk rakyat di Gaza, membina semua semenanjung, menarik sekatan serta mencapai perjanjian pertukaran banduan secara terhormat," katanya ketika berucap sempena Hari Al-Quds.

Pertukaran yang dirujuk Ismail berkait pembebasan tahanan Palestin dari penjara Israel sebagai balasan kepada tebusan Israel yang diculik kumpulan pejuang itu di Gaza.

Di pihak Israel, pihaknya cuma berminat dengan gencatan senjata sementara untuk membebaskan tebusan dan tiada jaminan mereka akan berhenti menyerang Gaza.

Hamas pula berkata mereka akan melepaskan tebusan berkenaan hanya sebagai sebahagian daripada perjanjian untuk menamatkan perang secara kekal.

Imej satelit oleh Maxar Technologies menunjukkan khemah untuk pelarian Palestin yang dipindahkan di Rafah di selatan Semenanjung Gaza, yang kini menjadi sasaran terbaharu serangan Israel. - Foto AFP
Imej satelit oleh Maxar Technologies menunjukkan khemah untuk pelarian Palestin yang dipindahkan di Rafah di selatan Semenanjung Gaza, yang kini menjadi sasaran terbaharu serangan Israel. - Foto AFP

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata tentera Zionis merancang untuk memasuki Rafah dekat hujung selatan Gaza di mana seramai 1.5 juta orang berlindung di wilayah terbabit.

Difahamkan, Netanyahu dan Presiden AS, Joe Biden, dijangka mengadakan pertemuan hari ini berhubung isu perang Israel-Palestin tetapi tiada butiran lanjut setakat ini.

Di Qatar, Perdana Menteri merangkap Menteri Luar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani, semalam berkata rundingan mengenai gencatan senjata di Gaza menemui jalan buntu terutama membabitkan kepulangan pelarian Palestin kembali ke rumah mereka.

Sumber yang rapat dengan rundingan itu mendakwa, pemimpin Qatar itu merujuk kepada tuntutan Hamas supaya rakyat Palestin yang hilang tempat tinggal bebas pulang ke rumah mereka di utara Gaza, selepas Israel mengarahkan mereka dipindahkan sejak perang meletus enam bulan lalu.

"Hamas mahu orang ramai dapat kembali ke utara. Ini isu besar untuk Hamas tetapi Israel terus menyekat usaha itu kerana regim Yahudi tidak mahu penduduk Palestin yang dipindahkan mempunyai kebebasan pergerakan," katanya.

Satu lagi perkara penting, kata sumber itu, adalah sama ada banduan Palestin dengan hukuman penjara seumur hidup akan turut dibebaskan setelah Hamas menggesa pembebasan ratusan warga Palestin yang lama ditahan.

Ketua Turus Tentera Israel, Leftenan Hervi Halevi, berkata anggotanya akan memberi tekanan lebih keras di Gaza untuk menjejaskan rundingan mengenai pembebasan tebusan.

Daripada 253 orang yang ditangkap oleh Hamas sejak perang Israel-Palestin meletus pada 7 Oktober tahun lalu, terdapat 134 masih dalam tawanan Hamas dan tanpa hubungan di kawasan Palestin. - REUTERS

Berita Harian X