Rabu, 3 April 2024 | 5:55pm
Kenderaan khas tanpa getaran membawa panda gergasi Fu Bao melalui peminat semasa majlis perpisahan di taman hiburan Everland di Yongin. - Foto AFP
Kenderaan khas tanpa getaran membawa panda gergasi Fu Bao melalui peminat semasa majlis perpisahan di taman hiburan Everland di Yongin. - Foto AFP

Penduduk Korea Selatan pulangkan Fu Bao, panda yang terkenal di internet

SEOUL: Beribu-ribu penduduk Korea Selatan mengucapkan selamat tinggal kepada panda gergasi pertama yang dilahirkan di negara itu, Fu Bao, yang berlepas ke China dengan kenderaan berteknologi tinggi tidak bergetar yang biasanya digunakan untuk mengangkut semi-konduktor.

Beijing telah lama menggunakan diplomasi panda sebagai satu bentuk kuasa, dan ibu bapa Fu Bao; Ai Bao dan Le Bao dihadiahkan kepada Korea Selatan pada 2016 oleh Presiden China, Xi Jinping.

Nama Fu Bao yang bermaksud harta yang memberi kebahagiaan dilahirkan pada tahun 2020 dan adalah selebriti di Korea Selatan, dengan videonya di saluran YouTube zoo itu menarik kira-kira 500 juta tontonan.

Taman hiburan Everland, tempat Fu Bao tinggal, berkata kira-kira 5.5 juta orang sekitar satu per sepuluh daripada keseluruhan penduduk Korea Selatan telah melawat taman itu untuk melihatnya.

"Populariti Fu Bao telah menyebabkan bilangan pelawat ke Dunia Panda Everland meningkat dua kali ganda tahun lalu kepada 2.15 juta, berbanding 1.07 juta pada 2020 sebelum ketibaan Fu Bao," kata taman tema itu.

Fu Bao mengalu-alukan adik kembarnya tahun lalu, bernama Rui Bao dan Hui Bao, yang kelahiran mereka turut mencetuskan keterujaan dalam talian di Korea Selatan.

Beijing hanya meminjamkan panda kepada zoo asing, yang biasanya mesti memulangkan mana-mana anak dalam tempoh beberapa tahun selepas kelahiran mereka untuk menyertai program pembiakan negara itu.

Di bawah perjanjian antara Seoul dan Beijing, ibu bapa Fu Bao boleh tinggal di Korea Selatan sehingga 2031, tetapi adik kembarnya, seperti Fu Bao sendiri, mesti pulang ke China sebelum mereka mencapai usia empat tahun.

"Fu Bao meninggalkan Everland sekitar jam 11 pagi," kata zoo itu dalam satu kenyataan, dan menambah panda itu akan berlepas ke China melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon dengan pesawat sewa.

Sebelum meninggalkan Everland, panda itu mengucapkan selamat tinggal kepada kira-kira 6,000 peminat Korea Selatan pada satu majlis ringkas.

Haiwan kesayangan ramai itu dipindahkan pada kenderaan tidak bergetar khas yang biasanya digunakan untuk pengangkutan semikonduktor, tambah kemudahan itu.

Penjaga zoo Kang Cheol-won, yang terkenal di Korea Selatan kerana hubungannya dengan panda Everland, secara meluas dirujuk sebagai datuk mereka, membacakan surat pada majlis itu, kata taman itu.

"Kang mengiringi panda dalam perjalanan ke China sehingga Fu Bao tiba di Pangkalan Panda Shenshuping negara itu di Wilayah Sichuan," kata Everland.

"Anda akan menjadi anak panda (saya) selama-lamanya, walaupun selepas 10 atau 100 tahun. Terima kasih kerana datang kepada datuk. Saya sayangkan awak Fu Bao," kata Kang dalam suratnya, merujuk dirinya sebagai datuknya. - AFP

Berita Harian X