Selasa, 2 April 2024 | 1:17am
Bangunan tambahan konsulat Iran di Damsyik ranap akibat serangan Israel, semalam. - FOTO AFP
Bangunan tambahan konsulat Iran di Damsyik ranap akibat serangan Israel, semalam. - FOTO AFP

8 maut Israel serang bangunan tambahan konsulat Iran di Syria

DAMSYIK: Israel melancarkan serangan ke atas sebuah bangunan tambahan konsulat Iran di ibu negara Syria, semalam, dengan sekurang-kurang lapan mangsa dilaporkan terbunuh.

Menurut laporan media Iran, antara yang maut ialah komander kanan Pasukan Quds bawah Kor Pengawal Revolusi Islam, Brigedier Jeneral Mohammad Reza Zahedi.

Ia adalah serangan kelima dalam tempoh lapan hari, ke atas Syria di mana Presiden Bashar al-Assad memperoleh sokongan kuat daripada Iran dan sekutunya.

Setakat ini, Israel belum memberikan komen berhubung kejadian itu.

Bagaimanapun, insiden terbabit dipercayai bakal meningkatkan lagi ketegangan dalam konflik yang menyaksikan Israel semakin giat melancarkan serangan ke atas kumpulan pejuang berkait Iran, ketika rejim Zionis turut berperang dengan Hamas di Gaza.

Agensi berita rasmi Syria, SANA melaporkan 'serangan Israel itu menyasarkan bangunan konsulat Iran dalam kawasan kejiranan Mazzeh di Damsyik.'

Koresponden AFP di lokasi kejadian turut mengesahkan bangunan tambahan yang terletak bersebelahan kedutaan itu, ranap akibat serangan berkenaan.

Media Iran juga melaporkan bangunan tambahan itu musnah sama sekali, namun dutanya selamat.

"Duta Republik Islam Iran di Damsyik, Hossein Akbari, bersama keluarganya tidak mengalami kecederaan dalam serangan Israel itu," lapor agensi berita Nour.

Kumpulan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain pula melaporkan peluru berpandu Israel memusnahkan bangunan tambahan Kedutaan Iran di Damsyik, sehingga mengorbankan sekurang-kurang lapan mangsa.

Kementerian Pertahanan Syria memaklumkan ramai yang terbunuh dan mengalami kecederaan, manakala Menterinya, Faisal Mekdad mengecam serangan Israel itu.

"Kami mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas kejam ini yang menyasarkan bangunan konsulat Iran di Damsyik sehingga membunuh mereka yang tidak bersalah," kata Mekdad dalam satu kenyataan dilaporkan SANA.

Berita Harian X