Isnin, 1 April 2024 | 7:35pm
(Gambar fail) Eilat adalah sebuah bandar pelabuhan Israel di Laut Merah. - FOTO REUTERS
(Gambar fail) Eilat adalah sebuah bandar pelabuhan Israel di Laut Merah. - FOTO REUTERS

Bandar pelabuhan Israel di Laut Merah alami serangan udara

BAITULMAQDIS: Bandar pelabuhan Israel di Laut Merah, Eilat, berdepan serangan udara hari ini tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan, menurut tentera rejim Zionis.

Sebuah kumpulan bersenjata yang disokong Iran di Iraq mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

Tentera Israel dalam satu kenyataan berkata, sebuah objek terbang yang dilancarkan dari timur Israel, mengenai sebuah bangunan di Eilat.

Bagaimanapun, ia tidak memperincikan mengenai objek berkenaan atau asalnya.

Katanya, siren dibunyikan di bandar itu tetapi tiada pemintasan dilakukan oleh pertahanan udara.

Kumpulan pejuang 'Islamic Resistance' di Iraq dalam satu kenyataan pula mengaku menyerang 'sasaran penting' di Israel 'dengan menggunakan senjata sesuai', namun tidak memberikan butiran lanjut.

Sebelum ini, Eilat berulang kali mengalami serangan peluru berpandu dan dron daripada kumpulan Houthi yang bersekutu dengan Iran di Yaman, ketika peperangan Israel-Hamas di Gaza terus berlarutan sejak Oktober tahun lalu.

Pada November lalu, Israel mendakwa sebuah kumpulan pejuang di Syria telah melancarkan dron yang menyerang bandar pelabuhan itu.

Berita Harian X