Isnin, 1 April 2024 | 8:48am
Presiden Turkiye merangkap pemimpin Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP), Recep Tayyip Erdogan (kiri) bersama isterinya, Emine Erdogan (kanan) melambai kepada penyokong di Ankara, Turki. - Foto AFP
Presiden Turkiye merangkap pemimpin Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP), Recep Tayyip Erdogan (kiri) bersama isterinya, Emine Erdogan (kanan) melambai kepada penyokong di Ankara, Turki. - Foto AFP

Pembangkang dahului pilihan raya tempatan Istanbul, Erdogan tergugat

ISTANBUL: Ekrem Imamoglu dari Parti Republikan Rakyat (CHP) mendahului saingan pilihan raya tempatan bagi merebut jawatan Datuk Bandar Istanbul semalam.

Pesaing utama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, itu mendahului 10 peratus di Istanbul, manakala CHP meraih 15 kerusi perwakilan di seluruh negara terbabit.

Berdasarkan 92.92 peratus kotak undi yang dibuka di Istanbul, Imamoglu meraih sokongan 50.92 peratus berbanding calon Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP), yang juga bekas menteri dalam Kabinet Erdogan, Murat Kurum (40.05 peratus).

Keputusan sebahagian daripada 85 juta orang di seluruh negara menunjukkan kemajuan besar bagi CHP, dengan menewaskan AKP pimpinan Erdogan, 70, yang menguasai politik selama lebih dua dekad.

Ia muncul sebagai pencapaian terburuk baik bagi Erdogan atau partinya, AKP, sekali gus menandakan perubahan dalam landskap politik perpecahan di Turkiye.

Datuk Bandar Istanbul, Ekrem Imamoglu, (tengah) mewakili parti pembangkang utama Parti Republikan Rakyat (CHP), berucap kepada penyokongnya berikutan keputusan awal di hadapan Perbandaran Metropolitan Istanbul (IBB) di Istanbul, Turkiye. - Foto REUTERS

Erdogan, dalam ucapannya awal pagi tadi, menyifatkan peralihan sokongan itu sebagai 'titik perubahan'.

Menerusi ucapan kepada orang ramai yang berkumpul di Ibu Pejabat AKP di Ankara, beliau berkata, sekutunya 'kehilangan altitud' di seluruh negara dan akan mengambil tindakan bagi 'mendengar' mesej daripada pengundi.

"Sekiranya terdapat sebarang kesilapan atau terdapat kekurangan, kami akan perbaikinya dalam beberapa tahun akan datang," katanya.

Imamoglu, ketika berucap di hadapan ribuan penyokongnya semalam, berkata pihak yang tidak memahami mesej daripada rakyat, akhirnya akan berdepan kekalahan.

"Malam ini, 16 juta penduduk Istanbul menghantar mesej kepada pihak lawan dan presiden," kata individu yang sering dinobatkan sebagai antara calon pesaing presiden.

Penyokong parti pembangkang, Parti Republikan Rakyat (CHP) meraikan kemenangan di luar bangunan perbandaran utama di Istanbul, Turkiye. - Foto AFP
Penyokong parti pembangkang, Parti Republikan Rakyat (CHP) meraikan kemenangan di luar bangunan perbandaran utama di Istanbul, Turkiye. - Foto AFP

Sebahagian daripada penyokong bekas ahli perniagaan yang mula menceburi politik pada 2008 itu turut melaungkan sorakan mendesak Erdogan meletakkan jawatan.

Sementara itu, penganalisis berkata, prestasi Erdogan dan AKP lebih teruk berbanding jangkaan kajian pendapat susulan lonjakan inflasi, pengundi Islam kurang berpuas hati, selain penampilan Imamoglu, 53, di Istanbul mengatasi asas sekular CHP.

Erdogan yang pernah menjadi Datuk Bandar Istanbul pada 1990-an, berusaha keras pada kempen menjelang pilihan raya tempatan, yang digambarkan penganalisis sebagai petunjuk sokongan kepada beliau dan ketahanan pihak pembangkang.

Selain di Ankara, ribuan penyokong turut mengibarkan bendera Turkiye dan parti bagi mengalu-alukan ucapan Datuk Bandar dari CHP yang dipilih semula, Mansur Yavas, selepas beliau mengalahkan calon AKP. - REUTERS

Berita Harian X