Isnin, 1 April 2024 | 8:15am
Lelaki Palestin yang cedera berbaring di atas lantai di Hospital Al-Aqsa di Deir al-Balah di tengah Semenanjung Gaza, berikutan pengeboman Israel. - Foto AFP
Lelaki Palestin yang cedera berbaring di atas lantai di Hospital Al-Aqsa di Deir al-Balah di tengah Semenanjung Gaza, berikutan pengeboman Israel. - Foto AFP

Netanyahu jalani pembedahan Hernia ketika Gaza terus dibom

GAZA: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, selesai menjalani pembedahan hernia ketika Gaza terus dibom semalaman, menyebabkan 77 penduduk Palestin terkorban, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Sejak masalah hernia beliau ditemui doktor kelmarin dan pembedahan dilakukan semalam, serangan tanpa henti tentera Israel terus meragut nyawa penduduk Palestin di Gaza dalam peperangan yang memasuki bulan keenam.

Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada 25 Mac, yang menuntut 'gencatan senjata segera' dan pembebasan semua tebusan ditahan Hamas langsung tidak dipedulikan baik oleh regim Zionis ataupun pejuang Islam itu.

Malah, resolusi yang mengikat itu seolah-olah tidak bermakna kerana gagal mengekang pertempuran, termasuk di dalam atau sekitar hospital utama di Gaza.

Serangan udara dan darat Israel juga diteruskan di Semenanjung Gaza ketika rundingan gencatan senjata antara Israel dan Hamas mahu disambung semula di Kaherah semalam, menurut televisyen Mesir.

Keluarga Palestin duduk di tepi runtuhan rumah mereka yang musnah dalam pengeboman Israel di kejiranan Tal al-Sultan di Rafah, selatan Gaza. - Foto AFP
Keluarga Palestin duduk di tepi runtuhan rumah mereka yang musnah dalam pengeboman Israel di kejiranan Tal al-Sultan di Rafah, selatan Gaza. - Foto AFP

Namun, Netanyahu mahupun Hamas tidak menyuarakan keyakinan terhadap pusingan rundingan terbaharu itu dan tidak dapat dipastikan sama ada mereka menghantar wakil ke pertemuan itu.

Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, dalam catatan di X berkata, serangan udara Israel semalam menyasarkan 'kem khemah' dalam kawasan Hospital Al-Aqsa di tengah Gaza, meragut empat nyawa dan mencederakan 17.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata 107 pesakit masih berada di dalam Hospital Al-Shifa, termasuk 30 orang kurang upaya (OKU), dan tentera Israel telah menghentikan percubaan untuk memindahkan mereka.

Ketegangan semakin meningkat antara Israel dan penyokong utamanya Amerika Syarikat (AS) berhubung kematian semakin ramai orang awam serta ancaman Israel untuk memulakan operasi tentera darat di bandar Rafah di selatan Gaza yang sesak.

Di bawah tekanan kuat untuk membawa pulang tebusan, Netanyahu pada Jumaat meluluskan pusingan baharu rundingan gencatan senjata untuk berlangsung di Doha dan Kaherah tetapi semalam memberitahu sidang akhbar bahawa Hamas tidak bersetuju.

Penduduk Palestin memeriksa kerosakan di kem sementara untuk orang yang kehilangan tempat tinggal di hadapan Hospital Syahid Al-Aqsa di Deir al-Balah di tengah Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Penduduk Palestin memeriksa kerosakan di kem sementara untuk orang yang kehilangan tempat tinggal di hadapan Hospital Syahid Al-Aqsa di Deir al-Balah di tengah Semenanjung Gaza. - Foto AFP

Seorang pegawai Hamas yang enggan dikenali menyatakan keraguan proses itu boleh membawa hasil kerana Netanyahu 'tidak berminat' dan masih dengan pendirian mahu 'menghapuskan Hamas sama sekali'.

Pegawai itu berkata Hamas belum memutuskan sama ada untuk menghantar delegasi ke pusingan baharu rundingan di Kaherah atau Doha.

Stesen TV Mesir, Al-Qahera, yang rapat dengan perkhidmatan perisikan negara itu berkata, rundingan gencatan senjata disambung semula di Kaherah semalam tetapi tidak dapat dipastikan sama ada disertai wakil Israel atau Hamas.

Pada masa sama, Netanyahu mengulangi ikrarnya untuk meneruskan perang dengan menghantar tentera menentang pejuang Hamas di Rafah, di mana kira-kira 1.5 juta penduduk Palestin kini berlindung.

Operasi ketenteraan Israel juga sedang dijalankan di dua hospital di bandar selatan Khan Younis iaitu di Hospital Nasser, menurut pejabat akhbar kerajaan Hamas, dan di Hospital Al-Amal, menurut Bulan Sabit Merah. - AFP

Berita Harian X