Ahad, 31 March 2024 | 4:33pm
Kilang di Wad Yodogawa Osaka ditutup pada Disember kerana fasiliti yang uzur dan pengeluaran dipindahkan ke kilang di bandar Kinokawa. - Foto AGENSI
Kilang di Wad Yodogawa Osaka ditutup pada Disember kerana fasiliti yang uzur dan pengeluaran dipindahkan ke kilang di bandar Kinokawa. - Foto AGENSI

Kilang kedua Kobayashi Pharma Jepun diperiksa berhubung kematian

TOKYO: Pihak berkuasa kesihatan menggeledah kilang kedua Kobayashi Pharmaceutical di barat Jepun hari ini selepas syarikat itu melaporkan lima kematian yang mungkin dikaitkan dengan makanan tambahan, menurut seorang pegawai.

Pemeriksaan itu dilakukan di wilayah Wakayama, sebelum itu di Osaka bagi memperluaskan siasatan ke atas penggunaan bahan yis merah 'Beni-Koji'.

Kobayashi yang berpangkalan di Osaka berkata, ia menemui apa yang kelihatan sebagai asid puberulik yang berpotensi toksik yang mungkin dihasilkan oleh kulat biru dalam bahan Beni-Koji yang dihasilkan antara April lalu dan Oktober di kilang Osaka.

Sehingga Jumaat, 114 orang sudah dimasukkan ke hospital dan lima meninggal dunia selepas mengambil makanan tambahan bagi membantu menurunkan paras kolesterol.

Pegawai Kementerian Kesihatan dan Kebajikan Jepun berkata, punca kematian belum disahkan, tetapi disyaki Beni-Koji mungkin puncanya, sekali gus memeriksa dua kilang dalam masa dua hari.

"Kementerian itu akan berganding bahu dengan kementerian lain untuk melakukan yang terbaik bagi menyelesaikan kes yang sedang berjalan sambil meminta Kobayashi Pharma untuk bekerjasama mengikut keperluan dalam meneliti kes itu," katanya.

Ketua Perhubungan Pelabur Kobayashi, Yuko Tomiyama, berkata syarikat sedang menyiasat kaitan yang disyaki antara produk dan kesannya pada buah pinggang sejak ia menerima laporan penyakit buah pinggang yang dikaitkan dengan produk itu.

"Kami akan bekerjasama sepenuhnya dengan siasatan supaya dapat menyelesaikan masalah seawal mungkin," katanya.

Kilang di Wad Yodogawa Osaka ditutup pada Disember kerana fasiliti yang uzur dan pengeluaran dipindahkan ke kilang di bandar Kinokawa, lapor media Jepun.

Kerajaan turut mengkritik syarikat itu kerana mengambil masa dua bulan untuk mengumumkan kesan kesihatan produknya.

Produknya juga digunakan di negara lain dan pentadbiran makanan dan ubat Taiwan sedang menyiasat tiga reaksi kesihatan yang tidak dijangka yang mungkin berkaitan dengan bahan import dari Kobayashi, lapor Agensi Berita Pusat rasmi Taiwan.

Kobayashi menjual Beni-Koji secara borong kepada 52 syarikat dan pemeriksaan sukarela mendapati tiada bahan yang memerlukan perundingan perubatan dilakukan.

Syarikat-syarikat itu menjual bahan itu kepada 173 yang lain. TV Asahi melaporkan bahawa kira-kira 1,800 pembuat makanan boleh terjejas. - REUTERS

Berita Harian X