Sabtu, 30 March 2024 | 4:31pm
Dua wanita dibawa ke Hospital Universiti Gold Coast, di Queensland, dalam keadaan kritikal. - Foto AGENSI
Dua wanita dibawa ke Hospital Universiti Gold Coast, di Queensland, dalam keadaan kritikal. - Foto AGENSI

Wanita maut, 2 lagi dimasukkan ke hospital selepas parti dadah besar-besaran di Queensland

SYDNEY: Seorang wanita meninggal dunia dan dua lagi dimasukkan ke hospital akibat parti dadah berlebihan di Queensland, Australia, semalam.

Dilaporkan, perkhidmatan kecemasan menerima panggilan telefon jam 11 malam mengenai kejadian yang berlaku di sebuah hotel di Surfers Paradise, pinggir pantai di bandar Gold Coast.

Sejurus tiba, paramedik mengenal pasti seramai tujuh orang di tempat kejadian dan Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) berkata, kesemuanya berusia 43 tahun.

Penyelia Operasi Kanan Perkhidmatan Ambulans Queensland, Mitchell Ware, berkata seorang mangsa mengalami serangan jantung pada masa itu dan tidak berjaya diselamatkan oleh pakar yang tiba.

Dua lagi wanita dibawa ke Hospital Universiti Gold Coast dalam keadaan kritikal, seorang bertarung nyawa di unit rawatan rapi, manakala seorang lagi kini diklasifikasikan sebagai stabil.

Selain tiga wanita itu, empat lagi turut diperiksa di tempat kejadian tetapi tidak memerlukan pengangkutan untuk rawatan lanjut.

Dadah yang digunakan masih belum disahkan dan pasukan polis negeri akan menyediakan laporan toksikologi.

Bagaimanapun, ABC berkata laporan awal merujuk kepada bahan itu sebagai "koktel dadah," termasuk ketamin, GHB atau fantasi.

Ware berkata, perkara ini sudah diperkatakan kira-kira dua minggu lalu iaitu konsep parti dadah atau dadah rekreasi ini, tidak selamat dan berisiko.

"Itu bukan hanya sekali saja. Pada malam yang lain, kami mempunyai tiga pesakit yang semuanya tidak sedarkan diri di Southport.

"Acara-acara ini menjadi lebih kerap dan perkhidmatan ambulans banyak digunakan serta sumber Perkhidmatan Ambulans Queensland juga," kata yang kecewa terhadap orang ramai yang tidak menghiraukan amaran dos dadah berlebihan. - AGENSI

Berita Harian X