Sabtu, 30 March 2024 | 4:05pm
Beras yis merah atau 'beni-koji' adalah bahan yang dihasilkan oleh penapaian semula jadi beras oleh yis merah. - Foto AGENSI
Beras yis merah atau 'beni-koji' adalah bahan yang dihasilkan oleh penapaian semula jadi beras oleh yis merah. - Foto AGENSI

Cari punca kematian yang mungkin dikaitkan dengan yis merah

TOKYO: Pegawai kesihatan Jepun menggeledah sebuah kilang Kobayashi Farmaseutikal hari ini selepas pembuat ubat itu melaporkan lima kematian yang mungkin dikaitkan dengan makanan tambahan menggunakan beras yis merah, menurut seorang pegawai.

Menurut pegawai itu, Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan serta Bandaraya Osaka turut bersama-sama memeriksa kilang di Osaka yang membuat makanan tambahan yang mengandungi yis merah 'Beni-Koji', yang disyaki menjadi punca utama.

Berdasarkan laporan berita, pegawai yang melakukan pemeriksaan berkata, kementerian boleh mencari lokasi lain yang berkaitan.

Kilang itu, yang menghasilkan produk itu sehingga Disember, sudah ditutup kerana fasiliti yang uzur.

Bagaimanapun, syarikat yang berpangkalan di Osaka itu tidak dapat dihubungi segera untuk mendapatkan komen.

Ketua perhubungan pelabur Kobayashi, Yuko Tomiyama, berkata firma itu berhasrat untuk menangani perkara itu dan bekerjasama sepenuhnya dengan siasatan.

Kobayashi berkata, ia sedang menyiasat kaitan yang disyaki antara produk dan kesannya pada buah pinggang sejak ia menerima laporan penyakit buah pinggang yang dikaitkan dengan produk itu.

"Sehingga Khamis, seramai 114 orang dimasukkan ke hospital dan lima meninggal dunia selepas mengambil makanan tambahan, yang dipasarkan sebagai membantu menurunkan paras kolesterol.

"Syarikat sedang meneliti kesan dapatan daripada terbitan terkini," menurut syarikat itu.

Ketua setiausaha kabinet Jepun, Yoshimasa Hayashi mengkritik syarikat itu kerana tindak balasnya yang perlahan dan kesal kerana Kobayashi mengambil masa dua bulan untuk mengumumkan kesan kesihatan produknya.

Syarikat itu dilaporkan sudah menarik balik produk dengan Beni-Koji sejak beberapa hari kebelakangan ini selepas menerima laporan tentang penyakit buah pinggang.

Persatuan pengguna China menggesa pengguna berhenti menggunakan produk terjejas berikutan bimbang tentang risiko dihadapi.

Beni-Koji mengandungi Monascus purpureus, iaitu kulat merah yang juga digunakan sebagai pewarna merah dalam beberapa makanan.

Asid puberulik iaitu agen antibakteria dan antimalaria yang kuat yang terhasil daripada kulat biru, boleh menjadi toksik, disahkan terdapat dalam kumpulan produk yang menyebabkan aduan kesihatan, menurut media Jepun. - REUTERS

Berita Harian X