Sabtu, 30 March 2024 | 7:56am
Orang ramai menunaikan solat jenazah bagi keluarga Mussa yang terbunuh dalam serangan semalaman Israel, di Hospital Al-Aqsa di Deir Al-Balah, tengah Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
Orang ramai menunaikan solat jenazah bagi keluarga Mussa yang terbunuh dalam serangan semalaman Israel, di Hospital Al-Aqsa di Deir Al-Balah, tengah Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS

Israel lulus rundingan gencatan senjata baharu di Gaza

GAZA: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, meluluskan untuk pusingan baharu rundingan gencatan senjata di Gaza, sehari selepas mahkamah tertinggi dunia arahkan Israel memastikan bantuan sampai kepada penduduk Palestin yang kebuluran.

Walaupun resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang mengikat awal minggu ini menuntut 'gencatan senjata segera', pertempuran berterusan di Gaza pada Jumaat, termasuk di sekitar beberapa hospital yang masih berfungsi.

Kementerian kesihatan di wilayah dikuasai Hamas berkata, puluhan orang terbunuh dalam serangan semalaman itu.

Antaranya ialah 12 disyaki sekeluarga terbunuh di rumah mereka di bandar selatan Rafah, yang dibom berulang kali menjelang operasi darat yang diancam Israel.

Pasukan penyelamat bertungkus lumus hanya menggunakan cahaya telefon bimbit untuk membebaskan orang yang terperangkap di bawah sisa runtuhan, berdasarkan gambar diedarkan AFPTV.

Perang Israel-Palestin yang turut menjejaskan wilayah serantau itu turut menyaksikan serangan roket Israel membunuh seorang komander roket Hizbullah di Lubnan dan agensi pemantau perang mengatakan beberapa pejuang Hizbullah di Syria turut terbunuh.

Pejabat Netanyahu berkata rundingan baharu mengenai gencatan senjata Gaza dan pembebasan tebusan akan berlangsung di Doha dan Kaherah 'dalam beberapa hari akan datang... dengan garis panduan untuk bergerak ke hadapan dalam rundingan'.

Kepulan asap masih kelihatan dari kawasan berdekatan Hospital al-Shifa di Gaza. - Foto AFP
Kepulan asap masih kelihatan dari kawasan berdekatan Hospital al-Shifa di Gaza. - Foto AFP

Rundingan itu buntu sejak beberapa hari kebelakangan ini walaupun desakan besar oleh Amerika Syarikat (AS) dan negara pengantara Mesir serta Qatar untuk pengisytiharan gencatan senjata sejak awal bulan Ramadan lagi, yang kini sudah lebih separuh jalan.

Dalam keputusannya, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda berkata ia menerima hujah Afrika Selatan bahawa kemerosotan lanjut dalam krisis kemanusiaan di Gaza memerlukan Israel untuk melakukan lebih banyak usaha.

"Rakyat Palestin di Gaza tidak lagi hanya menghadapi risiko kebuluran, tetapi... kebuluran sedang berlaku di sebahagian besar kawasan," katanya.

Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini, berkata keputusan itu adalah satu 'peringatan nyata bahawa bencana kemanusiaan di Semenanjung Gaza adalah buatan manusia dan ia semakin teruk'.

Laporan disokong PBB yang dikeluarkan minggu lalu memberi amaran bahawa separuh daripada penduduk Gaza dilanda kelaparan 'tahap serius' dan meramalkan kebuluran yang akan berlaku di utara wilayah itu bakal menjadi 'malapetaka' besar.

Badan Kementerian Pertahanan Israel yang bertanggungjawab bagi hal ehwal sivil Palestin (COGAT), sebaliknya mendakwa penilaian itu mengandungi banyak kesilapan dan memetik sumber yang boleh dipersoalkan.

ICJ telah memutuskan pada Januari lalu bahawa Israel mesti memudahkan bantuan kemanusiaan yang 'diperlukan segera' ke Gaza.

Keputusan mengikat terbaru oleh mahkamah, yang tidak banyak harapan untuk dikuatkuasa, dibuat ketika tentera Israel berkata ia akan meneruskan operasi tentera darat di hospital terbesar Gaza, Al-Shifa, untuk hari ke-12. - AFP

Berita Harian X