Selasa, 26 March 2024 | 7:47am
Sesi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) berhubung isu di Asia Barat meluluskan resolusi menggesa gencatan senjata segera di Gaza, di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat (AS). - Foto AFP
Sesi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) berhubung isu di Asia Barat meluluskan resolusi menggesa gencatan senjata segera di Gaza, di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat (AS). - Foto AFP

AS sokong resolusi gencatan senjata Gaza di UNSC, Israel batal lawatan

TEL AVIV: Kerenggangan hubungan antara Amerika Syarikat (AS) dan sekutu kuatnya, Israel semakin nyata selepas Washington tidak membantah resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menggesa gencatan senjata segera di Gaza.

Keputusan AS untuk berkecuali dalam undian itu mendorong Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, membatalkan lawatan delegasi membabitkan dua penasihat utamanya yang dijadualkan ke AS, kata dua pegawai Israel.

Berdasarkan rancangan awal, Penasihat Keselamatan Israel, Tzachi Hanegbi dan Ron Dermer, anggota Kabinet perang dan penasihat rapat Netanyahu, dijadualkan berlepas ke Washington semalam untuk membincangkan strategi serangan dan alternatif AS.

Bagaimanapun, lawatan itu dibatalkan berikutan keputusan pengundian terbaharu UNSC diperoleh selepas kali ke-10 resolusi gencatan senjata di Gaza dibangkitkan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

AS sebelum ini menggunakan kuasa vetonya menolak gencatan senjata, yang mana daripada sembilan usul dikemukakan di UNSC sebelum ini, hanya dua berkaitan penghantaran bantuan kemanusiaan diluluskan badan dunia itu.

Bagaimanapun, pendirian AS berubah Jumaat lalu apabila ia mengemukakan resolusi gencatan senjata Gaza yang terikat dengan pembebasan tebusan, namun diveto Russia dan China kerana tidak menuntut pemberhentian perang di Gaza.

Dalam pengundian terbaharu semalam, sikap AS yang berkecuali membenarkan resolusi kali ini diluluskan, apabila 14 ahli UNSC lain mengundi menyokongnya.

Duta Besar AS ke PBB, Linda Thomas-Greenfield berkata, walaupun resolusi terkini mengandungi suntingan yang diminta oleh AS, Washington tidak boleh mengundi 'ya' kerana ia 'tidak bersetuju dengan semua kandungannya'.

Duta Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Riyad Mansour, pada sesi pengundian resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) berhubung gesaan gencatan senjata segera di Gaza. - Foto REUTERS
Duta Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Riyad Mansour, pada sesi pengundian resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) berhubung gesaan gencatan senjata segera di Gaza. - Foto REUTERS

"Gencatan senjata mungkin berlaku kira-kira beberapa bulan lalu jika Hamas bersedia membebaskan tebusan," kata duta itu sambil menggesa negara anggota PBB khususnya UNSC, untuk menuntut Hamas 'menerima perjanjian di atas meja'.

"Sebarang gencatan senjata di Gaza mesti disertakan dengan pembebasan semua tebusan Israel yang diculik Hamas," katanya.

Resolusi itu, yang dikemukakan oleh 10 anggota tidak tetap UNSC itu menuntut gencatan senjata segera sepanjang Ramadan, pembebasan segera tebusan tanpa syarat dan membuka semua saluran penghantaran bantuan ke Gaza.

Setiausaha Agung PBB, António Guterres, menegaskan, kegagalan untuk melaksanakan resolusi kali ini akan menjadi dosa yang 'tidak boleh dimaafkan'.

"UNSC hanya meluluskan resolusi yang sudah lama ditunggu-tunggu mengenai Gaza, menuntut gencatan senjata segera serta pembebasan serta-merta dan tanpa syarat semua tebusan.

"Resolusi ini mesti dilaksanakan. Kegagalan tidak boleh dimaafkan," tulis Guterres dalam hantaran di akaun media sosial X.

Pentadbiran Presiden AS, Joe Biden, membuat pilihan untuk berkecuali dengan tidak menggunakan kuasa veto bagi menolak resolusi UNSC semalam selepas berpeluang mengubah bahagian tertentu teks resolusi itu, menurut seorang pegawai kanan pentadbiran.

Satu lagi sumber memberitahu CNN, AS merancang untuk menggunakan kuasa veto, tetapi terdapat usaha diplomatik yang intensif mengusahakan tolak ansur, sekali gus meletakkan mereka dalam kedudukan berkecuali.

Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Gilad Erdan (kanan) bercakap dengan anggota delegasinya ketika pengundian resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) berhubung gesaan gencatan senjata segera di Gaza. - Foto REUTERS
Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Gilad Erdan (kanan) bercakap dengan anggota delegasinya ketika pengundian resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) berhubung gesaan gencatan senjata segera di Gaza. - Foto REUTERS

Pada awalnya, teks itu menuntut gencatan senjata kekal dan tidak menyebut rundingan pembebasan tebusan dan AS berjaya mendorong teks itu diubah supaya merujuk gencatan senjata yang berkekalan dan pembebasan tebusan, kata pegawai berkenaan.

Atas sebab itu, AS percaya bahawa resolusi terbabit selaras dengan dasar AS, kata pegawai berkenaan mengenai sentimen yang disuarakan oleh Setiausaha Negara AS, Antony Blinken.

"Oleh kerana teks terakhir tidak mempunyai bahasa utama yang kami lihat sebagai penting, terutama kritikan terhadap Hamas, kami tidak dapat menyokongnya.

"Kegagalan untuk mengkritik Hamas ini amat sukar untuk difahami, saya yakin pada masa depan dunia akan sekali lagi menyaksikan tindakan ngeri dilakukan kumpulan hamas ini," kata Blinken dalam satu kenyataan.

Undian di PBB semalam dicapai ketika ketegangan semakin memuncak berhubung operasi ketenteraan Israel di bandar selatan Gaza, Rafah.

AS sudah berulang kali mendesak Israel untuk menjelaskan bagaimana ia akan melindungi 1.4 juta rakyat Palestin yang mencari perlindungan di sana sebelum memulakan operasi darat, yang AS sifatkan 'akan menjadi satu kesilapan besar'.

Duta Besar PBB untuk Wilayah Palestin, Riyad Mansour berkata, keputusan itu adalah satu undi 'untuk kehidupan yang berterusan'.

"Ia mengambil masa enam bulan bagi UNSC untuk menuntut gencatan senjata segera dengan lebih 100,000 nyawa terkorban atau cacat, dua juta kehilangan tempat tinggal dan kebuluran," katanya. - AGENSI

Berita Harian X