Isnin, 25 March 2024 | 9:49pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

26 dirawat di hospital selepas mengambil makanan tambahan pembuat ubat Jepun

TOKYO: Seramai 26 orang dimasukkan ke hospital selepas meminum produk makanan tambahan yang mengandungi "beni-koji", atau beras yis merah.

Produk itu dihasilkan oleh pembuat ubat Jepun, Kobayashi Pharmaceutical.

Gergasi farmaseutikal yang berpangkalan di Osaka melaporkan enam kes kerosakan buah pinggang dan masalah kesihatan lain yang dirawat di hospital berikutan pengambilan produk beras yis merah, Jumaat lalu.

Ia meningkatkan kebimbangan risiko kesihatan berkaitan dengan produk itu.

Dalam pengumumannya Jumaat lalu. syarikat itu mendedahkan bahawa selain enam individu yang dimasukkan ke hospital, tujuh lagi mendapatkan rawatan pesakit luar.

Laporan media tempatan menyatakan terdapat potensi peningkatan dalam bilangan kes pesakit luar.

Syarikat itu menarik balik secara sukarela lima produk yang mengandungi ramuan beras yis merah dan menyeru pengguna untuk berhenti mengambil makanan tambahan itu.

Produk itu diiklankan sebagai berkesan dalam menurunkan kolesterol jahat tetapi didapati mengandungi bahan-bahan yang tidak dijangka.

Menurut laporan media tempatan, Kobayashi Pharmaceutical, melalui anak syarikatnya, membekalkan beras yis merah kepada 52 syarikat termasuk pengeluar dan pemborong minuman dan makanan.

Dianggarkan 16.1 tan dijual secara luaran pada tahun fiskal 2023, dengan 6.9 tan digunakan dalam makanan tambahan yang disyaki mengandungi bahan bermasalah. - BERNAMA-XINHUA

Berita Harian X