Isnin, 25 March 2024 | 8:29am
Kepulan asap menjulang selepas serangan terbaharu Israel merosakkan sebuah lagi bangunan di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Kepulan asap menjulang selepas serangan terbaharu Israel merosakkan sebuah lagi bangunan di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP

UNRWA disekat daripada hantar bantuan ke utara Gaza

GAZA: Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi pelarian Palestin berkata Israel sudah menyekat sepenuhnya penghantaran bantuan di utara Gaza, iaitu kawasan merekodkan risiko kebuluran tertinggi.

"Walaupun tragedi yang berlaku ketika ini di bawah pemerhatian kami, pihak berkuasa Israel memaklumkan PBB bahawa mereka tidak akan lagi meluluskan sebarang konvoi makanan digerakkan Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA).

"Ini keterlaluan kerana dengan sengaja menghalang bantuan bagi menyelamatkan nyawa mangsa yang kebuluran akibat perbuatan manusia," kata ketuanya, Philippe Lazzarini menerusi platform X.

Dalam pada itu, Israel belum memberikan maklum balas ketika dihubungi AFP semalam bagi mengulas mengenai kenyataan Lazzarini.

Pengarah Komunikasi UNRWA, Juliette Touma, memberitahu AFP bahawa keputusan itu dimaklumkan dalam pertemuan dengan pegawai tentera Israel semalam.

Touma bagaimanapun berkata, pihak berkuasa Israel tidak memberikan alasan berhubung keputusan itu.

Gaza berdepan krisis kemanusiaan yang teruk akibat perang Israel terhadap Hamas yang bermula hampir enam bulan lalu, susulan serangan Hamas ke atas selatan Israel pada 7 Oktober lalu.

Serangan udara dan artileri terus dilancarkan ke atas Gaza sejak semalam ketika pemimpin dunia menggesa bantuan diberikan ke wilayah yang dikepung dan semakin genting diancam kebuluran.

Umat Islam menyertai majlis berbuka puasa anjuran penduduk Palestin di kem pelarian Barbara, di sepanjang sebuah jalan di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Umat Islam menyertai majlis berbuka puasa anjuran penduduk Palestin di kem pelarian Barbara, di sepanjang sebuah jalan di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP

Mereka merayu gencatan senjata disegerakan dan meminta Israel menghentikan rancangan untuk menghantar tenteranya menentang pejuang Hamas dan Jihad Islam di bandar Rafah, di selatan Gaza yang sesak.

Rundingan perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan sedang berlaku di Qatar, namun menurut sumber AFP, ketua agensi pengintip Israel dan AS yang terbabit dalam rundingan itu sudah meninggalkan rundingan terbabit.

Semalam, Kementerian Kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas memaklumkan, 84 mangsa terbunuh dalam tempoh 24 jam lalu, meningkatkan jumlah kematian di wilayah bergolak itu 32,226 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. - AFP

Minggu lalu, penilaian keselamatan makanan yang disokong PBB memberi amaran bahawa kebuluran dijangka melanda utara Gaza menjelang Mei melainkan ada campur tangan segera.

UNRWA tidak dapat menghantar makanan ke utara sejak 29 Januari dan keputusan terbaharu Israel itu ibarat 'hukuman mati' bagi penduduk Gaza yang amat memerlukan bantuan, kata Touma.

Tunjuk perasaan menyokong penduduk Plaestin di Gaza disertai ribuan orang di luar Masjid Al Kalouti dekat Kedutaan Israel di Amman, Jordan. - Foto REUTERS
Tunjuk perasaan menyokong penduduk Plaestin di Gaza disertai ribuan orang di luar Masjid Al Kalouti dekat Kedutaan Israel di Amman, Jordan. - Foto REUTERS

Ketua pejabat penyelarasan kemanusiaan PBB, Martin Griffiths, berkata di platform X semalam bahawa UNRWA adalah satu-satunya 'jantung yang masih berdenyut' selama ini bagi tindak bantuan kemanusiaan di Gaza.

Tambah beliau, keputusan untuk menyekat konvoi makanannya ke utara hanya mendorong beribu-ribu lebih dekat kepada kebuluran dan menggesa ia dibatalkan segera.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata di platform X bahawa menyekat penghantaran bantuan UNRWA sebenarnya menafikan orang yang kelaparan hak untuk terus hidup.

Awal Ahad, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menggesa penamatan 'mimpi ngeri tanpa henti' yang dialami oleh 2.4 juta penduduk Gaza dalam perang terburuk di wilayah itu.

Israel telah menuduh kakitangan UNRWA mengambil bahagian dalam serangan 7 Oktober dan menggelar agensi itu sebagai 'pelindung Hamas'.

Touma berkata pihak berkuasa Israel semalam turut menolak permintaan PBB untuk menghantar satu pasukan ke hospital Al-Shifa di utara Gaza, di mana pertempuran berlarutan selama hampir seminggu, untuk memindahkan orang yang cedera. - AFP

Berita Harian X