Isnin, 25 March 2024 | 12:17am
(Gambar fail) Jurucakap Kementerian Pertahanan China, Wu Qian. - FOTO REUTERS
(Gambar fail) Jurucakap Kementerian Pertahanan China, Wu Qian. - FOTO REUTERS

China gesa Filipina henti provokasi di Laut China Selatan

BEIJING: China menggesa Filipina menghentikan tindakan yang didakwanya sebagai pelanggaran serta provokasi berhampiran Beting Thomas Kedua yang juga dikenali sebagai Terumbu Ren'ai di Laut China Selatan.

Perkara itu disuarakan jurucakap Kementerian Pertahanan China, Wu Qian, dalam satu kenyataan semalam, susulan insiden terbaharu antara kapal Filipina dengan Pengawal Pantai China.

Kelmarin, tentera Filipina mendakwa Pengawal Pantai China melepaskan tembakan meriam air terhadap kapal Manila di Laut China Selatan.

"Pada 23 Mac lalu, sebuah kapal Filipina mencerobohi perairan berhampiran Terumbu Ren'ai China, untuk cuba menghantar bekalan kepada kapal perangnya yang 'terdampar' secara haram.

"Pengawal Pantai China dengan mengikut undang-undang dan peraturan, telah menyekat serta mengalihkan kapal Filipina itu (dari perairan berkaitan) untuk menghentikan cubaan pelanggaran dan provokasi oleh Filipina," dakwanya.

Wu Qian mendakwa, insiden terbaharu itu adalah disebabkan oleh 'provokasi Filipina', manakala tindakan China pula 'rasional, sah dan profesional.'

Beliau berkata, China bersedia untuk menyelesaikan pertikaian dengan Filipina menggunakan cara yang sesuai menerusi dialog serta perbincangan, namun Manila didakwa telah melanggar ikrarnya. – BERNAMA-SPUTNIK

Berita Harian X