Ahad, 24 March 2024 | 11:03am
Anggota keluarga Rabaya berbuka puasa dikelilingi sisa runtuhan rumah mereka yang musnah akibat serangan Israel. - Foto AFP
Anggota keluarga Rabaya berbuka puasa dikelilingi sisa runtuhan rumah mereka yang musnah akibat serangan Israel. - Foto AFP

Ketua pertahanan Israel ke AS untuk rundingan Gaza

BAITULMAQDIS: Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant akan berlepas ke Amerika Syarikat (AS) untuk rundingan berhubung usaha menamatkan perang di Gaza.

Gallant akan bertemu dengan rakan sejawatnya, Lloyd Austin; Setiausaha Negara AS, Antony Blinken; Penasihat Keselamatan Negara, Jake Sullivan dan pegawai kanan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, semua pihak berkenaan akan membincangkan perkembangan dalam perang menentang Hamas di Gaza.

Ini termasuk usaha untuk mengembalikan tebusan yang ditahan oleh Hamas di Gaza, usaha kemanusiaan dan langkah-langkah yang diperlukan untuk memastikan kestabilan serantau.

Kunjungan itu dibuat selepas lawatan terbaharu Blinken ke rantau itu, di mana beliau memberi amaran bahawa serangan Israel ke atas bandar Rafah di selatan Gaza akan menjadi kesilapan yang berisiko Israel mungkin diboikot di seluruh dunia.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menegaskan Israel bersedia untuk meneruskan operasi Rafah sendirian tanpa sokongan AS, jika terpaksa.

Terdapat kebimbangan yang meluas mengenai kematian ramai orang awam di Rafah, di mana kira-kira 1.5 juta rakyat Palestin kini mencari perlindungan susulan perang yang berlarutan sejak 7 Oktober.

Konvoi trak bantuan kemanusiaan yang terkandas di sempadan Mesir di luar Rafah menunggu giliran untuk menyeberangi sempadan. - Foto AFP
Konvoi trak bantuan kemanusiaan yang terkandas di sempadan Mesir di luar Rafah menunggu giliran untuk menyeberangi sempadan. - Foto AFP

Lawatan Gallant itu akan menjadi yang pertama untuknya ke Washington sejak pertempuran meletus.

Presiden AS, Joe Biden berkata, beliau telah memberitahu Netanyahu untuk menghantar satu pasukan ke Washington untuk membincangkan cara mengelak operasi ketenteraan berskala penuh di Rafah.

Seorang pegawai pertahanan AS berkata pertemuan Gallant yang dijadualkan dengan Austin adalah berasingan daripada lawatan delegasi yang diminta oleh Biden.

Dalam perkembangan berkaitan, AS pada rundingan yang dihoskan Qatar semalam, turut mengesyorkan penambahan nisbah pembebasan penduduk Palestin yang dipenjarakan Israel sebagai pertukaran untuk setiap tebusan yang dibebaskan Hamas.

Delegasi Israel yang dipimpin oleh ketua Mossad, David Barnea, berada di Doha untuk rundingan tidak langsung dengan kumpulan Hamas, degan pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), William Burns membantu pegawai Qatar dan Mesir sebagai pengantara.

Semasa rundingan itu, jurang yang ketara terserlah mengenai persoalan nisbah banduan yang akan dibebaskan bagi setiap tebusan, kata seorang pegawai Israel, yang enggan namanya disiarkan.

Anggota polis Israel menghalang penunjuk perasaan di Tel Aviv membantah kegagalan kerajaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, membebaskan tebusan Israel yang diculik Hamas. - Foto REUTERS
Anggota polis Israel menghalang penunjuk perasaan di Tel Aviv membantah kegagalan kerajaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, membebaskan tebusan Israel yang diculik Hamas. - Foto REUTERS

Kedua-dua pihak sebelum ini berkata, jika perjanjian dicapai, Israel akan menangguhkan serangannya di Gaza selama enam minggu dan Hamas akan membebaskan 40 daripada 130 tebusan yang masih ditahan.

Pegawai kanan Hamas, Sami Abu Zuhri, memberitahu Reuters bahawa Israel harus dipersalahkan atas kegagalan mencapai persetujuan kerana ia setakat ini enggan komited untuk menamatkan serangan tentera.

"Israel enggan menarik keluar pasukannya dari Semenanjung Gaza, dan membenarkan orang yang kehilangan tempat tinggal kembali ke rumah mereka di utara Semenanjung Gaza.

"Apa yang dimahukan oleh AS dan Israel ialah mendapatkan semula tebusan tanpa komitmen untuk menamatkan pencerobohan, yang bermaksud penyambungan semula peperangan, pembunuhan serta kemusnahan yang kita tidak boleh terima," katanya.

Sayap bersenjata Hamas semalam mengesahkan seorang lagi tebusan Israel telah mati kerana 'kekurangan ubat dan makanan'.

Kementerian Kesihatan di Gaza berkata kempen ketenteraan Israel untuk memusnahkan Hamas telah membunuh sekurang-kurangnya 32,142 orang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.- AFP

Berita Harian X