Sabtu, 23 March 2024 | 11:44am
Seorang wanita Palestin termenung di ruang tamu rumahnya yang musnah sebahagian akibat serangan terbaru Israel di di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
Seorang wanita Palestin termenung di ruang tamu rumahnya yang musnah sebahagian akibat serangan terbaru Israel di di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS

Dunia akan boikot Israel jika serang Rafah - AS

TEL AVIV: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken memberi amaran kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bahawa negara itu berisiko diboikot dunia jika ia menyerang Rafah di Semenanjung Gaza.

Blinken bertemu Netanyahu dalam misi damai ke Asia Barat ketika ketegangan semakin memuncak berhubung serangan Israel di Gaza yang diperintah Hamas, mengorbankan 32,000 rakyat Palestin, dengan lebih ramai lagi dikhuatiri maut di bawah runtuhan.

"Kami berkongsi matlamat Israel untuk mengalahkan Hamas... namun operasi darat tentera yang besar di Rafah bukanlah cara untuk melakukannya.

"Ia berisiko membunuh lebih ramai orang awam, menimbulkan malapetaka lebih besar dengan menggugat bantuan kemanusiaan.

"Ia berisiko mengasingkan lagi Israel di seluruh dunia dan menjejaskan keselamatan serta kedudukan jangka panjangnya," kata Blinken kepada pemberita di Tel Aviv.

Netanyahu sebelum ini berkata, Israel akan melakukan operasi itu sendiri jika Washington tetap menentang rancangan untuk memasuki Rafah dari sempadan selatan wilayah itu, di mana lebih sejuta penduduk Gaza berlindung.

Imej satelit oleh Maxar Technologies menunjukkan khemah untuk pelarian Palestin yang dipindahkan di Rafah di selatan Semenanjung Gaza, yang kini menjadi sasaran terbaharu serangan Israel. - Foto AFP
Imej satelit oleh Maxar Technologies menunjukkan khemah untuk pelarian Palestin yang dipindahkan di Rafah di selatan Semenanjung Gaza, yang kini menjadi sasaran terbaharu serangan Israel. - Foto AFP

Pemimpin Israel itu berkata, beliau memberitahu Blinken yang beliau menghargai sokongan AS dalam memerangi kumpulan pejuang Palestin, Hamas dan Israel mengakui ia perlu melindungi orang awam.

"Saya juga berkata, kita tidak mempunyai cara untuk mengalahkan Hamas tanpa pergi ke Rafah dan menghapuskan baki batalion di sana.

"Saya memberitahunya yang saya berharap kami akan melakukannya dengan sokongan AS tetapi jika perlu, kami akan melakukannya sendirian," katanya dalam satu kenyataan video kepada pemberita.

Pegawai kanan Israel dan AS dijadualkan bertemu di Washington minggu depan, apabila AS akan mengemukakan cara alternatif untuk memburu Hamas kepada Israel tanpa melakukan serangan penuh di Rafah.

"Kami percaya serangan darat yang besar adalah satu kesilapan" dan akan bertukar menjadi 'bencana' dengan cepat," kata jurucakap Rumah Putih, John Kirby, dalam satu taklimat.

Di Gaza, Israel pada Jumaat mendakwa sudah membunuh atau menangkap ratusan pejuang Hamas dalam operasi lima hari di kompleks hospital Al Shifa, satu-satunya kemudahan perubatan yang sebahagiannya berfungsi di utara.

Umat Islam Palestin menunaikan solat Jumaat di perkarangan Masjid the Al-Faruq yang musnah dalam serangan terbaru Israel di di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Umat Islam Palestin menunaikan solat Jumaat di perkarangan Masjid the Al-Faruq yang musnah dalam serangan terbaru Israel di di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP

Hamas dan kakitangan perubatan menafikan pejuang Hamas berada di sana.

Ketegangan hubungan antara AS dan Israel menjadi semakin terbuka, dengan Presiden AS, Joe Biden menyifatkan kempen Israel di Gaza sebagai melampau dan memberi kesan yang terlalu besar kepada nyawa orang awam.

Pegawai AS berkata, jumlah penghantaran bantuan melalui darat perlu meningkat dengan pantas dan bantuan itu perlu dikekalkan untuk tempoh yang panjang.

Israel, yang memeriksa semua penghantaran ke Gaza dan menutup pagar di utara kawasan itu, menafikan menyekat makanan dan percaya bekalan yang masuk sudah cukup.

"Seperti yang kami tahu, melalui analisis kami, tiada kebuluran di Gaza, malah terdapat makanan yang mencukupi memasuki Gaza setiap hari," kata ketua Pentadbiran Penyelarasan dan Perhubungan Israel untuk Gaza, Kolonel Moshe Tetro, kepada pemberita.

Ia bertentangan dengan laporan pakar antarabangsa, yang memberi amaran terdapat kekurangan makanan yang melampau di bahagian Semenanjung Gaza dan kematian besar-besaran akan berlaku. - REUTERS

Berita Harian X