Sabtu, 23 March 2024 | 10:25am
Mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bagi membincangkan usul disyorkan Amerika Syarikat (AS) berhubung gencatan senjata di Gaza dan konflik Israel-Palestin, di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, AS. - Foto REUTERS
Mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bagi membincangkan usul disyorkan Amerika Syarikat (AS) berhubung gencatan senjata di Gaza dan konflik Israel-Palestin, di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, AS. - Foto REUTERS

Hamas sokong China, Russia veto resolusi AS berhubung Gaza

GAZA: Hamas beri 'penghargaan' susulan tindakan Russia dan China gunakan kuasa veto untuk bantah deraf resolusi Amerika Syarikat (AS) mengenai gencatan senjata Gaza pada mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

AS mengemukakan resolusi yang menyokong 'keperluan gencatan senjata segera dan berterusan' selain buat pertama kalinya mengutuk serangan 7 Oktober lalu oleh Hamas.

"Kami merakamkan penghargaan atas pendirian Russia, China dan Algeria menolak resolusi pencerobohan AS yang berat sebelah terhadap rakyat kami," kata kumpulan pejuang Palestin itu dalam kenyataan.

Hamas berkata, deraf itu mengandungi 'kata-kata mengelirukan yang bersubahat' dengan Israel dan 'membenarkan perlindungan serta keabsahan untuk melakukan genosid terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza'.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken berkata, Russia dan China 'guna kusa veto secara sinis' terhadap teks yang disokong AS itu.

"Mengenai resolusi itu, yang mendapat sokongan sangat kuat, tetapi kemudian diveto oleh Russia dan China, saya fikir kami cuba menunjukkan masyarakat antarabangsa rasa mendesak untuk mendapatkan gencatan senjata," katanya kepada pemberita di Israel.

Resolusi itu, yang mana Guyana memilih pendirian berkecuali, menggesa gencatan senjata segera dan berterusan selama kira-kira enam minggu, yang akan melindungi orang awam dan membenarkan penyampaian bantuan kemanusiaan.

Usul itu menyaksikan 11 daripada 15 ahli majlis mengundi resolusi itu, namun Russia dan China gunakan kuasa veto bagi menghentikan kelulusannya.

Algeria, negara Arab yang kini menganggotai UNSC, turut mengundi menentang deraf itu dan menaja bersama deraf baharu yang lebih keras, yang dijangka diundi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) petang ini, namun berisiko untuk diveto AS.

Berdasarkan deraf resolusi yang dilihat Reuters, ia menuntut gencatan senjata segera sepanjang bulan suci Ramadan, pembebasan semua tebusan dan aliran bantuan kemanusiaan yang diperluaskan ke Gaza.

Duta Russia ke PBB, Vassily Nebenzia, berkata resolusi yang disyorkan AS itu 'terlalu dipolitikkan' dan memberi 'lampu hijau' bagi Israel melancarkan operasi ketenteraan di Rafah, selatan Semenanjung Gaza, di mana sebahagian besar 2.3 juta penduduknya berlindung di khemah sementara.

Duta Besar China untuk PBB, Zhang Jun, mengkritik teks yang dicadangkan AS kerana tidak menyatakan dengan jelas mengenai terhadap operasi ketenteraan dirancang Israel di Rafah, yang disifatkan boleh membawa musibah amat teruk. - AFP

Berita Harian X