Jumaat, 22 March 2024 | 12:09am
Blinken (duduk, tiga dari kiri) menghadiri mesyuarat di Kaherah, semalam. - FOTO POOL / AFP
Blinken (duduk, tiga dari kiri) menghadiri mesyuarat di Kaherah, semalam. - FOTO POOL / AFP

Presiden Mesir mahu gencatan senjata dilaksanakan segera di Gaza

KAHERAH: Presiden Mesir, Abdel-Fattah al-Sisi, menggesa gencatan senjata dilaksanakan segera di Semenanjung Gaza, ketika beliau mengadakan perjumpaan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, semalam, lapor Agensi Anadolu yang memetik kenyataan pihak presiden itu.

Blinken tiba di Kaherah untuk mengadakan perbincangan dengan pegawai-pegawai Mesir bertujuan mencapai gencatan senjata Hamas-Israel.

Perbincangan antara Sisi dengan Blinken berkisar mengenai keadaan di Semenanjung Gaza, dan usaha pengantaraan bagi mencapai satu gencatan senjata serta pertukaran tebusan antara Hamas dengan Israel.

Pemimpin Mesir itu turut mengingatkan akan kesan buruk daripada sebarang serangan darat oleh Israel ke atas bandar Rafah.

Lebih 1.4 juta penduduk telah melarikan diri ke Rafah berikutan tindakan Israel melancarkan serangan berterusan ke atas Semenanjung Gaza.

Beliau juga meminta supaya bantuan mencukupi dibawa masuk ke Gaza, dan ruang dibuka untuk penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka mengikut sempadan 1967 dengan Baitulmaqdis Timur menjadi ibu negaranya.

"Blinken pula memuji usaha Mesir membawa keamanan di rantau ini," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, kedua-dua pihak juga bersetuju akan kepentingan mengambil semua langkah diperlukan bagi memastikan akses bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza, selain menolak sebarang bentuk pengusiran rakyat Palestin dari tanah mereka.

Blinken memulakan lawatan terkininya ke rantau ini, kelmarin, dengan mengadakan perbincangan dengan pegawai Arab Saudi berhubung gencatan senjata di Gaza. Beliau dijadualkan melawat Israel, hari ini. – BERNAMA-ANADOLU

Berita Harian X