Khamis, 21 March 2024 | 12:54pm
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken. - Foto REUTERS
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken. - Foto REUTERS

AS edar draf resolusi PBB gesa gencatan senjata segera di Gaza

JEDDAH: Amerika Syarikat (AS) mengedarkan draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menggesa gencatan senjata segera yang dikaitkan dengan pembebasan tebusan di Gaza, kata Setiausaha Negara, Antony Blinken.

"Kami sebenarnya mempunyai resolusi yang kami kemukakan sekarang iaitu di hadapan Majlis Keselamatan PBB, menggesa gencatan senjata segera yang berkaitan dengan pembebasan tebusan, dan kami amat berharap banyak negara akan menyokongnya.

"Saya fikir ia akan menghantar mesej yang kuat, isyarat yang kuat," katanya kepada media Saudi, Al Hadath ketika lawatan ke Arab Saudi untuk membincangkan perang Israel-Palestin, semalam.

AS, penyokong utama Israel, sebelum ini menggunakan kuasa veto Majlis Keselamatan PBB bagi menyekat badan dunia itu daripada menggesa gencatan senjata segera di wilayah Palestin.

"Sudah tentu, kami berdiri bersama Israel dan haknya untuk mempertahankan diri... tetapi pada masa sama, adalah mustahak orang awam yang berada dalam bahaya dan yang sangat menderita -- supaya kami memberi tumpuan kepada mereka, mereka menjadi keutamaan, melindungi orang awam, mendapatkan bantuan kemanusiaan," katanya.

Blinken bertemu Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan dan kemudian mengadakan perbincangan dengan Putera Mahkota Mohammed bin Salman sejurus mendarat di negara itu semalam pada pusingan pertama lawatan serantau yang akan merangkumi Mesir hari ini dan kemudian Israel.

Perjalanan itu adalah yang keenamnya ke Asia Barat sejak perang Israel-Palestin bermula pada 7 Oktober.

Lawatan Blinken berjalan selari dengan perbincangan di Qatar, yang mana pengantara bertemu untuk hari ketiga semalam dalam usaha baharu untuk mendapatkan gencatan senjata tetapi dengan sedikit petunjuk mengenai perjanjian yang akan berlaku.

Rancangan yang dibincangkan di Qatar akan menghentikan sementara pertempuran kerana tebusan ditukar dengan tahanan Palestin dan penghantaran bekalan bantuan dipertingkatkan.

Perang Gaza paling berdarah berlaku selepas serangan Hamas pada 7 Oktober mengakibatkan kira-kira 1,160 kematian di Israel,

Hamas turut menahan kira-kira 250 tebusan, yang mana Israel percaya 130 masih kekal di Gaza, termasuk 33 yang dianggap mati.

Tentera Israel melancarkan serangan balas terhadap Hamas yang membunuh hampir 32,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan Gaza.

Berita Harian X