Khamis, 21 March 2024 | 12:21pm
 Foto AGENSI
Foto AGENSI

32 pesawat pejuang China dikesan di sekitar Taiwan - Taipei

TAIPEI: Kementerian Pertahanan Taiwan hari ini berkata 32 pesawat tentera China dikesan di sekitar pulau itu dalam tempoh 24 jam lalu, jumlah kedua tertinggi tahun ini.

Dalam tempoh 24 jam menjelang 6 pagi tadi (2200 GMT Rabu), Kementerian Pertahanan turut mengesan lima kapal tentera laut yang beroperasi di sekitar Taiwan.

Dua puluh daripada pesawat itu melintasi garis tengah Selat Taiwan, katanya dalam satu kenyataan.

Angkatan bersenjata Taiwan memantau keadaan dan menggunakan pesawat (rondaan), kapal Tentera Laut dan sistem peluru berpandu pantai sebagai tindak balas kepada aktiviti yang dikesan.

Dalam dua lagi tempoh 24 jam pada akhir Januari dan awal Februari, kementerian mengesan 33 pesawat pejuang China di sekitar pulau itu, jumlah tertinggi tahun ini.

Pengesanan itu susulan pilihan raya presiden pada 13 Januari yang dimenangi Naib Presiden, Lai Ching-te, yang tidak disukai Beijing.

Lai dan naib presiden Hsiao Bi-khim daripada Parti Progresif Demokratik (DPP) yang memerintah akan memegang jawatan pada 20 Mei.

Bulan lalu, Taiwan berkata 11 kapal tentera laut China dikesan di sekitar Taiwan, paling banyak tahun ini, ketika pertelagahan antara Taipei dan Beijing berhubung insiden bot nelayan berlarutan.

Sebuah bot laju China yang membawa empat orang terbalik pada 14 Februari berhampiran pulau Kinmen Taiwan ketika dikejar pengawal pantai Taiwan, membunuh dua orang manakala dua lagi terselamat.

Insiden itu berlaku ketika ketegangan semakin meningkat antara China dan Taiwan, sebuah pulau yang dikuasai sendiri yang didakwa Beijing sebagai sebahagian daripada wilayahnya untuk dirampas suatu hari nanti, secara kekerasan jika perlu.

Berita Harian X