Khamis, 21 March 2024 | 7:08am
Penduduk memeriksa kesan runtuhan bangunan susulan serangan udara Israel di kem pelarian Rafah di selatan Semenanjung Gaza pada 20 Mac 2024. - Foto AFP
Penduduk memeriksa kesan runtuhan bangunan susulan serangan udara Israel di kem pelarian Rafah di selatan Semenanjung Gaza pada 20 Mac 2024. - Foto AFP

Arab Saudi sumbang lebih RM189 juta kepada agensi PBB untuk rakyat Palestin

RIYADH: Arab Saudi menyumbang AS$40 juta (RM189.64 juta) kepada agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk pelarian Palestin (UNRWA) yang berdepan pemotongan dana besar-besaran dan gesaan pemansuhan diterajui Israel.

Menurut Pusat Bantuan Kemanusiaan Raja Salman (KSrelief) dana itu akan menyokong usaha bantuan kemanusiaan UNRWA di Semenanjung Gaza, di mana perang Israel-Palestin berlarutan lebih lima bulan.

"Dana itu akan menyediakan makanan untuk lebih 250,000 orang dan penyediaan khemah untuk 20,000 keluarga," kata KSrelief dalam satu kenyataan.

Agensi PBB yang diwujudkan pada 1949 itu mendapat perhatian serius selepas Israel mendakwa kakitangan mereka terbabit dalam serangan Hamas pada 7 Oktober di selatan Israel.

Berikutan itu beberapa negara menggantung bantuan mereka, walaupun PBB menyatakan Israel tidak memberikan sebarang bukti bagi menyokong dakwaan berkenaan.

PBB melancarkan siasatan dalaman dan bebas terhadap dakwaan itu.

"Adalah penting untuk menangani keperluan terdesak rakyat di Gaza," kata ketua KSrelief, Abdullah al-Rabeeah.

Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini, berkata sumbangan itu mencerminkan solidariti berterusan Arab Saudi kepada rakyat Palestin.

UNRWA menggaji kira-kira 30,000 orang di wilayah Palestin yang diduduki termasuk 13,000 di Gaza serta negara jiran Jordan, Lubnan dan Syria.

Lazzarini, seorang veteran PBB dan misi kemanusiaan lain bulan lalu berkata beliau percaya matlamat Israel adalah memusnahkan UNRWA, yang sekian lama berada di barisan hadapan dalam usaha menyalurkan bantuan dan pendidikan di Gaza.

Usaha bantuan kemanusiaan dipergiatkan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, termasuk bantuan digugurkan dari udara dan pelancaran koridor kemanusiaan maritim dari Cyprus.

Bagaimanapun PBB dan agensi bantuan lain memberi amaran bantuan itu tidak mencukupi bagi memenuhi keperluan terdesak di Gaza.

Berita Harian X