Selasa, 19 March 2024 | 9:08pm
Israel dilaporkan menyerang gudang menyimpan senjata untuk kumpulan Hizbullah Lubnan di Syria hari ini manakala sumber tentera Syria pula berkata, pertahanan udaranya memintas beberapa peluru berpandu. - Foto fail ihsan Arab News
Israel dilaporkan menyerang gudang menyimpan senjata untuk kumpulan Hizbullah Lubnan di Syria hari ini manakala sumber tentera Syria pula berkata, pertahanan udaranya memintas beberapa peluru berpandu. - Foto fail ihsan Arab News

Israel serang depot senjata Hizbullah Lubnan di Syria

BEIRUT: Pemantau perang berkata Israel menyerang gudang menyimpan senjata untuk kumpulan Hizbullah Lubnan di Syria hari ini manakala sumber tentera Syria pula berkata pertahanan udaranya memintas beberapa peluru berpandu.

Israel sebelum ini melancarkan ratusan serangan udara di Syria sejak perang saudara meletus pada 2011, dengan menyasarkan tentera yang disokong Iran termasuk Hizbullah serta kedudukan tentera Syria.

Serangan itu juga meningkat sejak perang Israel dengan Hamas, sekutu Hizbullah, bermula pada 7 Oktober lalu.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, serangan terbaharu hari ini adalah berhampiran ibu negara, Damsyik dan memusnahkan senjata serta peluru termasuk menyebabkan letupan dan kebakaran.

Sumber tentera yang dipetik oleh media kerajaan Syria pula melaporkan, 'pencerobohan udara' Israel menyasarkan beberapa kedudukan tentera berhampiran Damsyik.

"Pertahanan udara kami mengambil tindakan dan menembak jatuh beberapa peluru berpandu," kata sumber itu.

Pusat yang berpangkalan di Britain berkata serangan itu adalah kedua seumpamanya dalam tempoh dua hari, selepas serbuan sama, kelmarin di sebuah lagi depot senjata Hizbullah dan tapak berasingan berhampiran Damsyik.

Awal bulan ini, serangan Israel dilaporkan membunuh seorang Pengawal Revolusi Iran dan dua orang lain di Banias di pantai Mediterranean Syria.

Tentera Israel, minggu lalu berkata mereka sudah mencecah kira-kira 4,500 sasaran Hizbullah di Lubnan dan Syria sejak lima bulan lalu.

Israel jarang mengulas mengenai serangan dari kelompok tertentu, tetapi berulang kali berkata mereka tidak akan membenarkan Iran meluaskan kehadirannya di Syria.

- AFP

Berita Harian X