Isnin, 18 March 2024 | 8:53am
Sebuah kereta kebal meronda sempadan Israel-Gaza. - Foto REUTERS
Sebuah kereta kebal meronda sempadan Israel-Gaza. - Foto REUTERS

Penduduk dibenar tinggalkan Rafah sebelum diserang, tapi mahu ke mana?

GAZA: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berjanji bahawa orang awam akan dapat meninggalkan Rafah sebelum tenteranya memasuki kawasan berkenaan, namun tidak menyatakan ke mana mereka harus pergi dari kawasan yang dikepung itu.

Beliau berkata demikian ketika melawat Canselor Jerman, Olaf Scholz, susulan kebimbangan antarabangsa mengenai nasib kira-kira 1.5 juta orang yang berlindung di Rafah, kebanyakan mereka kehilangan tempat tinggal akibat perang di Gaza.

"Matlamat kami untuk menghapuskan saki baki pejuang Hamas di Rafah seiring dengan keputusan membenarkan penduduk awam meninggalkan Rafah.

"Ia bukan sesuatu yang akan kami lakukan (serangan) dengan membiarkan penduduk terkurung di tempat itu," katanya ketika sidang media bersama Scholz.

Scholz bagaimanapun menimbulkan persoalan: "Ke mana mereka harus pergi?"

Amerika Syarikat (AS), yang menyediakan bantuan ketenteraan berbilion dolar kepada Israel, sudah berulang kali meminta pelan yang jelas dan boleh dilaksanakan untuk memastikan orang awam 'dijauhkan dari bahaya'.

Setakat ini, Netanyahu belum menjelaskan ke mana pelarian Palestin di Rafah akan dipindahkan dengan negara jiran, Mesir dan Jordan sudah menegaskan mereka tidak akan membuka sempadan bagi menerima mereka.

Sebelum bertemu Scholz, Netanyahu memberitahu mesyuarat kabinet bahawa 'tidak ada tekanan antarabangsa yang dapat menghalang mereka daripada menzahirkan semua matlamat perang', dan untuk melakukannya, 'mereka akan beroperasi di Rafah'.

Israel berulang kali mengancam melakukan serangan darat terhadap Hamas di Rafah, di mana penduduk Gaza yang menjadi pelarian bersesak-sesak di sempadan Mesir.

Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, menggesa supaya operasi ketenteraan tidak dijalankan di sana, 'atas dasar kemanusiaan'.

Scholz memberitahu wartawan Jerman, jika serangan itu mengakibatkan sebilangan besar korban, maka sebarang perkembangan ke arah keamanan di rantau itu akan menjadi sukar.

Perang Israel-Hamas yang bermua selepas hamas menyerang Israel dan kini memasuki bulan kelima itu menimbulkan ketegangan di seluruh Asia Barat.

Menurut statistik AFP berdasarkan rekod Israel, serangan Hamas itu mengakibatkan kematian kira-kira 1,160 orang.

Hamas menahan kira-kira 250 orang tebusan Israel dan warga asing pada 7 Oktober lalu dan Israel percaya kira-kira 130 orang daripada mereka kekal di Gaza termasuk 32 individu yang dianggap sudah mati.

Menurut Kementerian Kesihatan di wilayah kendalian Hamas, kempen tentera Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 31,645 orang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Kegagalan Netanyahu yang mengetuai gabungan parti agama dan ultra nasionalis, turut menyebabkan protes meningkat dalam kalangan penduduk Israel sendiri, yang menggesa pilihan raya diadakan lebih awal awal.

Antara rungutan utama ialah kegagalan rundingan pembebasan tebusan Israel yang diculik Hamas ketika serangan 7 Oktober lalu.

Di Baitulmaqdis, Scholz menggesa perjanjian pembebasan tebusan dan gencatan senjata berkekalan disegerakan, selain merayu pelaksanaan sistem dua negara Israel-Palestin sebagai lenkah mengakhiri konflik.

"Keganasan tidak boleh dikalahkan dengan cara ketenteraan sahaja," kata Scholz.

Kementerian Kesihatan, semalam melaporkan, sekurang-kurangnya 92 orang terbunuh dalam tempoh 24 jam yang lalu di Gaza.

Mangsa yang maut termasuk 12 sekeluarga ketika rumah mereka dibedil di Deir al-Balah, tengah Gaza.

Di Rafah, kakitangan perubatan di sebuah klinik yang dikendalikan oleh sukarelawan Palestin berkata, keadaan bertambah buruk.

Pakar perubatan, Samar Gregea berkata, selain kekurangan bekalan ubat, semua kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan, dengan peningkatan kes hepatitis.

"Kanak-kanak memerlukan makanan tinggi gula, seperti kurma, yang pada masa ini tidak boleh didapati," katanya. - AFP

Berita Harian X