Ahad, 17 March 2024 | 10:23pm
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. - Foto AGENSI
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. - Foto AGENSI

Tentera Israel akan menuju ke Rafah walaupun berdepan tekanan antarabangsa - PM Israel

BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu hari ini berkata, tentera Israel akan meneruskan serangan darat yang dirancang di Rafah, dekat selatan Gaza yang mencetuskan kebimbangan berlakunya kematian orang awam secara besar-besaran.

"Tekanan antarabangsa tidak akan menghalang kami daripada merealisasikan semua matlamat perang iaitu menghapuskan Hamas, membebaskan semua tebusan kami dan memastikan Gaza tidak lagi menimbulkan ancaman kepada Israel.

"Untuk merealisasikannya, kami juga akan beroperasi di Rafah," kata Netanyahu ketika mesyuarat Kabinet menerusi satu video yang dikeluarkan pejabatnya.

Komen itu dibuat ketika rundingan semula ke arah gencatan senjata di Gaza diadakan di Doha, yang mana Israel terus bertindak memerangi pejuang Hamas selama lebih lima bulan.

Pejabat Netanyahu berkata, anggota Kabinet Israel dijadual membincangkan 'mandat' pasukan rundingan itu hari ini.

Netanyahu turut dijadual bertemu Canselor Jerman, Olaf Scholz yang dijangka mengulangi amarannya terhadap serangan darat di Rafah.

Majoriti 2.4 juta penduduk Gaza mencari perlindungan daripada pengeboman tanpa henti Israel di selatan Rafah, berdekatan sempadan wilayah pesisir dengan Mesir.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, yang menyokong perang dilancarkan Israel berkata, pencerobohan ke atas Rafah 'melampaui had' tanpa rancangan perlindungan awam yang boleh dipercayai.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken kelmarin berkata, Washington mahukan 'rancangan yang jelas dan boleh dilaksanakan' untuk Rafah bagi memastikan orang awam 'terhindar daripada bahaya'.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tedros Adhanom Ghebreyesus, pada Jumaat merayu kepada Israel 'atas nama kemanusiaan' untuk tidak melancarkan serangan ke atas Rafah.

Pejabat Netanyahu kelmarin berkata, beliau meluluskan rancangan tentera untuk operasi di Rafah, walaupun tiada garis masa diberikan.

Rafah adalah pusat penduduk utama terakhir di Gaza yang belum diserang dalam perang yang dicetuskan Hamas pada 7 Oktober ke atas bahagian Selatan Israel.

Menurut statistik AFP berdasarkan rekod Israel, serangan itu mengakibatkan kematian kira-kira 1,160 orang.

Hamas menahan kira-kira 250 orang tebusan Israel dan warga asing pada 7 Oktober lalu dan Israel percaya kira-kira 130 orang daripada mereka kekal di Gaza termasuk 32 individu yang dianggap sudah mati.

Menurut Kementerian Kesihatan di wilayah kendalian Hamas, kempen tentera Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 31,645 orang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. - AFP

Berita Harian X