Sabtu, 16 March 2024 | 4:29pm
Kapal pengawal pantai China memulakan rondaan tetap di sekitar pulau Kinmen Taiwan bulan lalu. - Foto AGENSI
Kapal pengawal pantai China memulakan rondaan tetap di sekitar pulau Kinmen Taiwan bulan lalu. - Foto AGENSI

Taiwan beri amaran kepada bot pengawal pantai China masuk perairan larangan

TAIPEI: Taiwan hari ini memberi amaran kepada bot pengawal pantai China yang memasuki perairannya yang dilarang, tidak jauh dari pulau barisan hadapan berhampiran China untuk hari kedua berturut-turut, ketika ketegangan memuncak di Selat Taiwan yang sensitif.

Pengawal pantai Taiwan berkata, empat bot pengawal pantai China pada pagi ini memasuki perairan pulau Kinmen yang dikawal Taiwan dan bot itu tinggal lebih sejam selepas pihak berkuasa Taiwan meminta mereka beredar.

China mendakwa Taiwan yang ditadbir secara demokrasi sebagai wilayahnya sendiri, walaupun mendapat bantahan keras pulau itu.

Ia meningkatkan aktiviti ketenteraan berhampiran Taiwan sejak beberapa tahun lalu, dengan pencerobohan hampir setiap hari ke dalam zon pengenalan pertahanan udara.

"Anda memasuki perairan larangan negara kami. Sila berpatah balik dengan segera," kata seorang pegawai Taiwan melalui radio dalam satu mesej siaran kepada rakan sejawat mereka dari China, berdasarkan rakaman yang dikeluarkan pengawal pantai Taiwan hari ini.

Rakaman itu menunjukkan bot pengawal pantai Taiwan mengikut pergerakan dua kapal China dalam jarak yang dekat.

"Tindakan itu memberi kesan serius kepada trafik dan keselamatan. Bagi mengelak tercetusnya insiden tentera laut, kami menggesa mereka menghentikan tindakan sedemikian," kata pengawal pantai Taiwan dalam satu kenyataan.

Tiada maklum balas segera berhubung perkara itu daripada pengawal pantai China, yang tidak mempunyai perincian untuk dihubungi secara terbuka.

Agensi berita rasmi Taiwan, Central News Agency melaporkan, pengawal pantai China turut menjalankan rondaan berhampiran Kepulauan Kinmen pada Jumaat, dengan empat botnya diberikan amaran.

Bulan lalu, pengawal pantai China memulakan rondaan tetap di sekitar Kinmen, selepas dua warga negara itu maut ketika cuba melarikan diri daripada pengawal pantai Taiwan selepas bot mereka memasuki perairan larangan.

Taiwan menghantar bot pengawal pantai pada Khamis bagi menyertai misi menyelamat atas permintaan China selepas sebuah kapal nelayan China terbalik berhampiran kepulauan Kinmen.

Kerajaan Taiwan menekankan kepentingan kerjasama antara Taiwan dan China, di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak. - REUTERS

Berita Harian X