Rabu, 13 March 2024 | 7:05pm
Musim 2023 adalah antara yang paling buruk apabila 18 pendaki terbunuh. - Foto REUTERS
Musim 2023 adalah antara yang paling buruk apabila 18 pendaki terbunuh. - Foto REUTERS

Nepal keluar peraturan pendaki Gunung Everest wajib bawa alat penjejak dan beg najis

KATHMANDU: Nepal mengeluarkan peraturan kepada pendaki Gunung Everest untuk wajib membawa alat penjejak GPS dan membuang najis dalam beg kompos sama seperti yang digunakan untuk najis anjing.

Tahun lalu, seramai 18 pendaki terbunuh termasuk sekurang-kurangnya lima mayat masih belum ditemui di gunung tertinggi di dunia itu dan pihak berkuasa berusaha untuk meningkatkan keselamatan serta kebersihan di puncak gunung berkenaan.

Penjejak GPS telah digunakan oleh ramai pendaki profesional bagi membantu pihak berkaitan memantau lokasi mereka di puncak gunung bagi tujuan keselamatan ketika pendakian.

Untuk musim pendakian musim bunga, yang bermula bulan ini dan berlangsung hingga Mei, Nepal dijangka memerlukan penjejak pasif yang kurang berkuasa dan saiz lebih kecil, yang boleh dijahit dengan mudah ke dalam jaket dan tidak memerlukan kuasa untuk berfungsi.

Mereka boleh dikesan oleh pengesan pegang tangan sekitar 20 meter melalui salji yang tebal dan beberapa kali di udara.

Penggunaan alat itu akan membantu mengesan pendaki sekiranya berlaku kemalangan atau perkara yang tidak diingini berlaku.

Pengarah pendakian gunung di Jabatan Pelancongan Nepal, Rakesh Gurung, berkata alat penjejak berkenaan adalah wajib dipakai oleh pendaki dan sekiranya kemalangan berlaku, lokasi mereka dapat dikenal pasti dengan tepat.

Pertumbuhan pesat industri pendakian telah mewujudkan persaingan sengit di kalangan syarikat perniagaan dan juga menimbulkan kebimbangan bahawa ada yang mengambil jalan lain dari segi keselamatan.

Kira-kira 600 pendaki dan pemandu arah berjaya sampai ke puncak Gunung Everest pada tahun 2023 dan pihak berkuasa juga telah memperkenalkan pelbagai peraturan baharu, termasuk mewajibkan penggunaan beg najis di kem pangkalan di gunung berkenaan.

Bertan-tan sampah termasuk tin kosong, botol dan tong gas, peralatan mendaki yang dibuang, dan plastik serta najis manusia bersepah di gunung itu yang telah digelar sebagai tempat pembuangan sampah tertinggi di dunia.

Pengerusi perbandaran luar bandar Khumbu Pasang Lhamu, Mingma Chiri Sherpa berkata gunung berkenaan sumber air dan gunung yang mereka ada semakin tercemar.

"Pendaki wajib menggunakan beg kompos untuk membuang najis di kawasan kem pangkalan gunung berkenaan supaya ia boleh dilupuskan dengan sebaiknya," katanya. - AFP

Berita Harian X