Rabu, 13 March 2024 | 2:49pm
Rakaman kamera papan pemuka menunjukkan orang ramai bertempiaran lari susulan letupan kuat di sebuah bangunan di Sanhe, Langfang, wilayah Hebei, China. - Foto REUTERS
Rakaman kamera papan pemuka menunjukkan orang ramai bertempiaran lari susulan letupan kuat di sebuah bangunan di Sanhe, Langfang, wilayah Hebei, China. - Foto REUTERS

Letupan besar di utara China, 2 maut, 26 cedera

BEIJING: Sekurang-kurangnya dua orang maut dan 26 lagi cedera selepas letupan kuat memusnahkan sebuah restoran di wilayah Hebei di China, yang turut mengakibatkan kereta berdekatan rosak teruk serta serpihan besar bertaburan di jalan sekitarnya.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi (0000 GMT) waktu tempatan, yang juga waktu puncak, satu letupan kuat berlaku di sebuah restoran di Sanhe, sebuah daerah kira-kira 80 kilometer (km) dari pinggir ibu kota Beijing, lapor penyiar negeri CCTV News.

Letupan itu disyaki berpunca daripada letupan tong gas dari sebuah restoran menjual nasi ayam.

Sementara itu, Jabatan Penyelamat Bomba Langfang, melalui kenyataan memaklumkan, satu letupan dan kebakaran berlaku di sebuah kedai jalan berhampiran persimpangan Jalan Xueyuan dan Jalan Yingbin di kampung Xiaozhanggezhuang.

Jabatan itu berkata, pihaknya menghantar 36 jentera dengan kekuatan anggota seramai 154 orang ke tempat kejadian, di mana kebakaran dapat dikawal dan kerja menyelamat masih diteruskan.

Letupan berlaku sejurus selepas majlis penutupan mesyuarat politik kerajaan peringkat tinggi di Beijing.

Gambar tangkap layar menunjukkan kepulan asap tebal menyusuli letupan kuat di sebuah bangunan di Sanhe, Langfang, wilayah Hebei, China. - Foto REUTERS
Gambar tangkap layar menunjukkan kepulan asap tebal menyusuli letupan kuat di sebuah bangunan di Sanhe, Langfang, wilayah Hebei, China. - Foto REUTERS


Pasukan AFP di lokasi mendapati pihak polis melencongkan semua aliran trafik menuju ke arah lokasi letupan dan dari jauh kelihatan kepulan asap tebal menjulang tinggi.

Gegaran akibat letupan itu juga merosakkan bahagian depan beberapa kedai berdekatan lokasi letupan, menurut sebuah video dikongsi di laman sosial Douyin, dimuat naik seorang penduduk tempatan yang rumahnya hanya 200 meter dari lokasi letupan.

Video di platform media sosial Weibo menunjukkan api marak menjulang tinggi di kawasan letupan, diikuti kepulan asap kelabu yang tebal.

Klip video itu menunjukkan blok bangunan musnah dan banyak kenderaan remuk dengan serpihan kaca bertaburan di sekitar jalan.

Beberapa objek terbakar dan lokasi tragedi kelihatan seperti zon perang.

Biro Pengurusan Kecemasan Bandar Sanhe menghantar pasukan penyiasat ke tempat kejadian dan Biro Pengurusan Kecemasan Bandar Langfang berkata pihak bomba sudah berada di lokasi letupan, menurut catatan media sosial. - REUTERS

Berita Harian X