Selasa, 12 March 2024 | 12:42am
Perkarangan Masjid Al-Aqsa. - Foto REUTERS
Perkarangan Masjid Al-Aqsa. - Foto REUTERS

Jangan 'uji' kami di bulan Ramadan - Israel

BAITULMAQDIS: Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, mendakwa pihak berkuasa akan menghormati kebebasan beribadat sepanjang Ramadan dan memberi amaran kepada mana-mana pihak yang cuba untuk menguji mereka dengan melakukan keganasan.

Tegas beliau, Israel akan menghormati kebebasan beribadat di masjid Al-Aqsa dan semua tempat suci umat Islam.

"Bulan Ramadan mungkin bulan jihad dan kami memberi amaran kepada semua orang supaya jangan cuba menguji kami. Kami bersedia untuk apa saja dan jangan melakukan kesilapan," katanya dalam klip video di Telegram.

Kenyataan terbabit dibuat di tengah-tengah kebimbangan mengenai ketegangan sewaktu Ramadan di perkarangan Masjid Al-Aqsa iaitu lokasi utama keganasan meningkat setiap tahun ketika bulan puasa bagi umat Islam.

Kawasan berkenaan juga adalah tapak paling suci penganut Yahudi, yang mengenalinya sebagai Temple Mount atau Gunung Kuil.

Setiap Ramadan, ratusan ribu umat Islam akan berdoa di perkarangan Masjid al-Aqsa.

Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi berkata, sekatan yang dikenakan oleh Israel terhadap akses jemaah Islam ke perkarangan Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis ketika Ramadan adalah perbuatan berpotensi mencetuskan 'ledakan keganasan'.

Safadi dalam satu kenyataan berkata, Jordan menolak langkah yang diumumkan Israel untuk mengehadkan akses ke Masjid al-Aqsa pada bulan Ramadan dan keperluan keselamatan terhadap perang yang sedang berlaku di Gaza.

Beliau berkata, Jordan menyuarakan pandangan Palestin bahawa sekatan sedemikian adalah serangan terhadap kebebasan beribadat.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, hari ini menggesa gencatan senjata dalam perang Israel-Palestin di Semenanjung Gaza dan konflik di Sudan ketika bulan suci Ramadan bermula.

Beliau juga menggesa pembebasan tahanan oleh pejuang Hamas dan penghapusan semua halangan untuk memastikan penghantaran bantuan menyelamatkan nyawa pada kelajuan dan skala besar yang diperlukan ke Gaza.

"Serangan Israel ke atas Rafah boleh menjerumuskan penduduk Gaza ke dalam kancah kebuluran yang lebih serius," katanya.

Jumaat lalu, Jurucakap Pejuang Hamas menggesa rakyat Palestin untuk bergerak dan menuju ke arah Masjid al-Aqsa bagi mempertahankan hak mereka beribadat di tempat yang dianggap suci oleh umat Islam sejagat. - AFP

Berita Harian X