Ahad, 10 March 2024 | 12:03pm
Penduduk Palestin menyelongkar sisa runtuhan selepas kediaman mereka musnah dalam serangan terbaharu Palestin, untuk mencari barangan yang boleh diselamatkan. - Foto AFP
Penduduk Palestin menyelongkar sisa runtuhan selepas kediaman mereka musnah dalam serangan terbaharu Palestin, untuk mencari barangan yang boleh diselamatkan. - Foto AFP

Rundingan gencatan Gaza diteruskan walaupun harapan suram

KAHERAH: Agensi risikan Israel, Mossad mengesahkan usaha untuk mencapai perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Gaza masih berlangsung walaupun harapan berjaya diakui agak suram.

Kenyataan itu dibuat ketika negara pengantara terutama Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat (AS) terus berusaha untuk gencatan senjata sebelum Ramadan bermula.

"Maklumat dan kerjasama dengan orang tengah masih berlanjutan sepanjang masa dalam usaha untuk mengecilkan jurang dan mencapai perjanjian," kata Mossad.

Sebelum ini, Ketua Mossad, David Barnea, melakukan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari AS, Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), William Burns.

Mereka terus berusaha merundingkan perjanjian pembebasan tebusan bagi gencatan senjata, seperti yang diumumkan Mossad dalam kenyataan diedarkan pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Israel dan Hamas, saling menyalahkan satu sama lain atas kebuntuan perbincangan menjelang Ramadan ini, malah masing-masing sudah tidak lagi menghantar wakil ke rundingan gencatan senjata.

Rakan sekerja dan keluarga menunaikan solat jenazah bagi empat sukarelawan pertahanan awam yang terbunuh semasa pengeboman Israel kem pelarian Nuseirat, semasa pengebumian mereka di Hospital Syahid Aqsa di Deir el-Balah, Gaza. - Foto AFP
Rakan sekerja dan keluarga menunaikan solat jenazah bagi empat sukarelawan pertahanan awam yang terbunuh semasa pengeboman Israel kem pelarian Nuseirat, semasa pengebumian mereka di Hospital Syahid Aqsa di Deir el-Balah, Gaza. - Foto AFP

Sumber Hamas memberitahu Reuters bahawa wakil tidak mungkin membuat lawatan lain ke Kaherah pada hujung minggu untuk perbincangan gencatan senjata.

Hamas menyalahkan Israel atas kebuntuan dalam rundingan untuk gencatan senjata yang lebih lama dan pembebasan 134 tahanan yang masih dipercayai berada di Gaza walaupun ada laporan mengatakan kira-kira 30 tebusan sudah meninggal dunia.

Hamas menegaskan mereka enggan memberikan jaminan untuk mengakhiri peperangan atau menarik balik pasukannya dari Gaza.

Sementara itu, Mossad mendakwa Hamas berkeras menuntut Israel menghentikan serangan dan berundur sama sekali dari Gaza, dengan harapan keganasan akan meningkat semasa Ramadan, sekali gus membantu perjuangan Hamas.

Dalam kenyataan semalam sempena Ramadan, Ketua Hamas, Ismail Haniyeh, berjanji bahawa rakyat Palestin akan terus berjuang menentang Israel sehingga mereka mendapat kemerdekaan.

Sementara itu, dalam serangan terbaharu, Israel membedil salah satu menara kediaman terbesar di bandar selatan Rafah.

Penduduk Palestin berkumpul di tapak serangan Israel ke atas sebuah rumah, di Deir Al-Balah, di tengah Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
Penduduk Palestin berkumpul di tapak serangan Israel ke atas sebuah rumah, di Deir Al-Balah, di tengah Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS

Bangunan setinggi 12 tingkat itu rosak akibat serangan dan penduduk mengatakan puluhan keluarga kehilangan tempat tinggal, walaupun tiada kemalangan dilaporkan.

Tentera Israel mendakwa blok itu digunakan oleh Hamas untuk merancang serangan ke atas warga Israel.

Salah seorang daripada 300 penduduk menara itu, berhampiran sempadan dengan Mesir, memberitahu Reuters bahawa Israel memberi mereka amaran hanya 30 minit untuk meninggalkan bangunan pada waktu malam.

Serangan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk Gaza mengenai serangan Israel yang lebih meluas di Rafah, di mana lebih separuh daripada 2.3 juta orang Gaza berlindung.

Hamas semalam melaporkan empat tebusan Israel mati dalam serangan Israel di kawasan itu, walaupun tidak ada bukti yang diberikan.

Tentera Israel, yang enggan memberikan komen, sebelum ini menyatakan video oleh Hamas hanya sebagai peperangan psikologi. - REUTERS

Berita Harian X