Sabtu, 9 March 2024 | 3:05pm
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, pada sidang media bersama rakan sejawatnya dari Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, di Istanbul, Turkiye. - Foto REUTERS
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, pada sidang media bersama rakan sejawatnya dari Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, di Istanbul, Turkiye. - Foto REUTERS

Turkiye sedia jadi tuan rumah, pengantara rundingan damai Russia-Ukraine

ISTANBUL: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, berkata negara itu bersedia menjadi pengantara dan tuan rumah bagi sidang kemuncak damai antara Russia dan Ukraine.

Beliau mengesahkan perkara itu pada Jumaat selepas berbincang dengan rakan sejawatannya dari Ukraine, Volodymyr Zelensky, di Istanbul.

Turkiye, yang juga anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), meletakkan diri sebagai pengantara yang berpotensi antara Moscow dan Kyiv sejak Russia melancarkan pencerobohannya lebih dua tahun lalu.

Cadangan Erdogan dibuat ketika Ukraine berdepan tekanan yang meningkat di barisan hadapan, di mana ia semakin lemah kepada Moscow sejak beberapa bulan lalu, ketika bantuan daripada sekutu Baratnya berkurangan.

"Kami bersedia untuk menjadi pengantara dan tuan rumah sidang kemuncak damai, di mana Russia turut hadir.

"Sementara kami meneruskan solidariti dengan Ukraine, kami akan meneruskan tugas untuk menamatkan perang dengan keamanan yang adil berdasarkan rundingan," kata Erdogan pada sidang akhbar bersama pemimpin Ukraine itu.

Zelensky menolak idea untuk berunding secara langsung dengan Russia, dengan alasan pemimpin Ukraine dan Barat mesti menetapkan keamanan mengikut syarat mereka sendiri.

Katanya, akan ada sidang kemuncak keamanan di Switzerland kelak, di mana Kyiv akan mempromosikan 'formula keamanan' sendiri, namun menolak penyertaan Russia.

"Kami tidak nampak bagaimana kami boleh menjemput orang yang menyekat, memusnahkan dan membunuh segala-galanya. Kami mahu mendapatkan keputusan," kata Zelensky.

Beliau menyifatkan rundingan dengan Erdogan sebagai produktif dan berterima kasih kepada Turkiye atas usahanya sebagai pengantara bagi menyelesaikan isu eksport bijirin Ukraine melalui Laut Hitam dan pertukaran tahanan.

Ankara berusaha untuk mengekalkan hubungan baik dengan Moscow dan Kyiv, membantu kedua-duanya menandatangani perjanjian yang kini sudah tamat, untuk memastikan laluan selamat bijirin di Laut Hitam pada Julai 2022.

Erdogan berkata, beliau dan Zelensky membincangkan isu keselamatan pelabuhan dan pelayaran di Laut Hitam, pertukaran tahanan serta keselamatan makanan, dan mereka berkongsi pendapat yang sama.

"Kami tidak putus asa. Kami percaya terdapat beberapa peluang yang boleh diberikan oleh Turkiye dengan pendiriannya," katanya.

Kedudukan unik di Laut Hitam dan kawalan terhadap Selat memberi Turkiye kelebihan ketenteraan, politik dan ekonomi dalam menyelesaikan konflik Ukraine-Russia.

Pertemuan Erdogan-Zelensky ini diadakan seminggu selepas pertemuan dengan Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov dengan rakan sejawatnya dari Turkiye, Hakan Fidan di sebuah forum diplomatik di Antalya.

Presiden Russia, Vladimir Putin, sepatutnya melawat Turkiye bulan lalu tetapi menangguhkannya, menurut media Russia dan Turkiye, yang memetik sumber diplomatik bahawa Kremlin akan tetapkan tarikh baharu tetapi belum ditentukan. - AFP

Berita Harian X