Rabu, 6 March 2024 | 3:28pm
Tentera dan polis Israel meningkatkan pencerobohan ke dalam Masjid Al-Aqsa dua hari sebelum akhir Ramadan lalu. - Foto REUTERS
Tentera dan polis Israel meningkatkan pencerobohan ke dalam Masjid Al-Aqsa dua hari sebelum akhir Ramadan lalu. - Foto REUTERS

Israel akan benarkan jumlah jemaah yang sama memasuki Al-Aqsa pada minggu pertama Ramadan

BAITULMAQDIS: Israel tidak akan mengenakan had baharu ke atas bilangan jemaah yang dibenar memasuki pekarangan Masjid Al-Aqsa Baitulmaqdis Timur pada minggu pertama bulan suci Ramadan, menurut pejabat perdana menteri pada Selasa, lapor Xinhua.

Menurut kenyataan itu, keputusan itu dibuat susulan mesyuarat pegawai keselamatan tertinggi negara itu mengenai solat di tapak suci umat Islam dan Yahudi itu.

"Ramadan adalah bulan suci bagi umat Islam; kesuciannya akan dipertahankan tahun ini, seperti setiap tahun," menurut pejabat itu.

Akses kepada jemaah ke masjid akan dibenarkan sepanjang minggu pertama Ramadan, yang dijangka bermula pada 11 Mac, menurut pejabat itu yang menambah bahawa bilangan jemaah adalah "sama seperti tahun-tahun sebelumnya," tanpa menyatakan angka yang tepat.

"Penilaian akan keselamatan akan dibuat setiap minggu dan keputusan sewajarnya akan dibuat," katanya.

Pekarangan Masjid Al-Aqsa, yang dikenali oleh orang Yahudi sebagai Temple Mount, adalah tapak ketiga paling suci bagi umat Islam.

Tapak itu yang terletak di Baitulmuqadis Timur, yang ditawan Israel dalam perang Asia Barat pada 1967, diurus oleh Wakaf Jordan. - BERNAMA-XINHUA

Berita Harian X